Khidmat Perundingan Pengujian Prestasi Sistem Aplikasi Sektor Awam

Unit MyTCoE, Bahagian Perundingan ICT, MAMPU ada menawarkan khidmat perundingan pengujian prestasi sistem aplikasi kepada agensi sektor awam. Permohonan khidmat perundingan pengujian prestasi bagi tahun 2023 dibuka kepada agensi yang memerlukan.

Objektif pengujian prestasi sistem aplikasi adalah untuk menguji prestasi infrastruktur dan keupayaan sistem aplikasi yang dibangunkan untuk beroperasi dengan sejumlah bebanan/ pengguna secara serentak (concurrent user) dalam tempoh masa tindakbalas (response time) yang ditetapkan. Ujian ini adalah simulasi bagi situasi sebenar sistem apabila digunakan oleh pengguna sebenar. Tujuan pengujian adalah untuk memastikan tiada gangguaan prestasi kepada sistem aplikasi apabila digunakan oleh pengguna sebenar dan memberi keyakinan kepada pihak pengurusan (stakeholders) mengenai prestasi sistem yang telah dibangunkan. 

Pengujian prestasi sistem aplikasi dilaksanakan kepada sistem yang baharu siap dibangunkan, selesai menjalani Ujian Penerimaan Pengguna (User Acceptance Test) dan Ujian Penembusan (Penetration Test) tetapi belum dibuka (Go Live) kepada pengguna. Pengujian prestasi dilaksanakan kepada persekitaran sebenar (Production Environment) sistem.

Semasa pengujian prestasi dilaksanakan, sebarang isu yang dikenalpasti sama ada melibatkan kekurangan keupayaan infrastruktur (resources), ralat pengaturcaraan (programming error) sistem aplikasi, penalaan (tuning) kepada konfigurasi server, ralat (error) yang lain akan ditambahbaik dan diuji semula sehingga lulus skop ujian yang telah ditetapkan.   

Keutamaan khidmat perundingan pengujian prestasi oleh Unit MyTCoE adalah diberikan kepada sistem yang dibangunkan secara dalaman (in-house), tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk melakukan pengujian prestasi atau skop pengujian prestasi tidak diambil kira semasa penyediaan spesifikasi tender/ sebutharga pembangunan sistem aplikasi.

Prosedur permohonan adalah seperti berikut:-

1. Melengkapkan borang permohonan khidmat perundingan pengujian prestasi sistem aplikasi seperti di Lampiran A.

2. Menghantar surat permohonan khidmat perundingan pengujian prestasi beserta Lampiran A kepada Ketua Pengarah MAMPU di alamat berikut:

Ketua Pengarah
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
Aras 6, Setia Perdana 2,
Kompleks Setia Perdana
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya, Malaysia

Dilampirkan contoh surat permohonan untuk rujukan agensi.

Permohonan yang lengkap diterima akan diteliti dan satu sesi perbincangan awal akan diadakan bersama pihak agensi bagi mendapat pemahaman mengenai sistem aplikasi yang dibangunkan dan mengenalpasti keperluan bagi melaksanakan pengujian prestasi.

Pelan Ujian Prestasi akan dibangunkan bersama pihak agensi yang mengandungi keperluan dan garis masa (timeline) pelaksanaan pengujian prestasi. Cadangan pelaksanaan pengujian prestasi sistem aplikasi adalah seperti Gambarajah di bawah.