BAB 1 - Pendahuluan

Panduan ini bertujuan untuk memberi panduan komprehensif untuk menguruskan projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) di agensi-agensi Sektor Awam. Panduan PPrISA (Pengurusan Projek ICT Sektor Awam) mengandungi tatacara untuk melaksanakan projek-projek ICT dari Fasa Permulaan, ke Fasa Perancangan, seterusnya ke Fasa Pelaksanaan dan Kawalan dan akhir sekali ke Fasa Penamatan. Setiap fasa mengandungi templat-templat yang boleh digunakan sebagai dokumen rasmi dalam menguruskan projek-projek ICT.

Tujuan PPrISA ini dibangunkan adalah untuk menyediakan satu panduan yang standard supaya pengurusan projek-projek ICT di agensi-agensi sektor awam dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih konsisten dan berdisiplin. Panduan ini boleh digunapakai bagi menguruskan projek-projek ICT sama ada yang dilaksanakan secara dalaman, luaran/outsourcing (iaitu yang menggunakan perkhidmatan dari pihak luar seperti universiti, syarikat swasta atau luar negara) atau co-sourcing (gabungan dalaman dan outsourcing).

Sasaran utama panduan ini adalah anggota Kerajaan yang diberi tanggungjawab sebagai Pengurus Projek untuk melaksanakan projek ICT. Ia juga boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada pegawai sektor swasta yang terlibat dalam melaksanakan projek-projek ICT di agensi Sektor Awam. Selain dari itu ia juga boleh dijadikan bahan bacaan untuk meningkatkan pengetahuan bagi mereka yang berminat dalam pengurusan projek ICT secara umum.

Panduan ini meliputi tujuh bab dengan:

Bab 1 - menjelaskan tujuan, kumpulan sasaran dan keterangan mengenai isi kandungan panduan ini.

Bab 2 - menerangkan maklumat asas mengenai projek ICT sektor awam dan keterangan ringkas mengenai Metodologi PPrISA.

Bab 3 - berkenaan Fasa Permulaan Projek, menerangkan aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk memulakan projek ICT, termasuk memperolehi butiran asas projek, memohon peruntukan kewangan dan memohon kelulusan untuk memulakan projek.

Bab 4 - menjelaskan tentang Fasa Perancangan Projek dimana perancangan terperinci yang merangkumi aktiviti-aktiviti dan serahan-serahan projek serta pelan-pelan yang perlu diwujudkan untuk melaksana dan mengawal projek ICT.

Bab 5 - memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta penghasilan serahan-serahan projek, dan juga aktiviti pemantauan dan kawalan projek yang terkandung dalam Fasa Pelaksanaan dan Kawalan Projek.

Bab 6 - menjelaskan tentang Fasa Penamatan dimana aktiviti menamatkan projek dilaksanakan secara formal.

Bab 7 - merupakan rumusan bagi panduan ini.