BAB 4 - FASA PERANCANGAN PROJEK

Fasa Perancangan Projek ialah fasa kedua dalam PPrISA seperti digambarkan dalam Rajah 4.1 di bawah.  Fasa ini dimulakan setelah mendapat kelulusan melaksanakan projek ICT daripada jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan seperti yang dijelaskan dalam fasa sebelum ini.

Rajah 4.1: Fasa Perancangan Projek dalam PPrISA

Tujuan utama fasa perancangan ini adalah untuk membuat perancangan terperinci bagi menguruskan pembangunan projek ICT dari mula hingga projek tamat.  Fasa ini bermula sebaik sahaja kelulusan sewajarnya diperoleh dan dokumen utama yang digunakan sebagai input ialah DPP, manakala output utama kepada fasa ini ialah dokumen Pelan Pengurusan Projek (PPP).  Sila rujuk PPrISA02 – Pelan Pengurusan Projek bagi templat PPP. 

 

Dalam fasa ini semua aktiviti projek perlu dikenal pasti berdasarkan skop projek dengan mengambil kira kekangan terhadap tempoh masa, sumber kewangan dan sumber tenaga manusia.  Maklumat tersebut perlu diseimbangkan bagi mencapai objektif dan faedah yang telah ditetapkan supaya projek berjaya menghasilkan serahan-serahan yang telah dipersetujui.  Selain itu, fasa ini juga memperincikan aspek-aspek tadbir urus dan struktur organisasi projek, pengurusan dan kawalan projek serta pengurusan perolehan dan kontrak.