BAB 3 - Fasa Permulaan Projek

Fasa Permulaan Projek ialah fasa pertama dalam PPrISA seperti yang digambarkan dalam Rajah 3.1 di bawah. Fasa Permulaan Projek dimulakan setelah mendapat mandat dari pihak pengurusan agensi untuk melaksanakan sesuatu projek ICT. Ini adalah kerana agensi berhasrat untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatannya kepada tahap yang lebih baik. Selain itu, projek ICT perlu dibangunkan untuk menyokong perkhidmatan utama agensi kerana terdapat keperluan baru yang memberi impak kepada visi, misi dan fungsi utama agensi.


Rajah 3.1: Fasa Permulaan Projek dalam PPrISA


Tujuan utama fasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan dan butiran asas projek ICT seperti skop, objektif, kos dan tempoh masa projek serta faedah yang diperoleh daripada serahan-serahan projek. Maklumat tersebut digunakan untuk menyediakan dokumen utama yang pertama dalam PPrISA iaitu Dokumen Permulaan Projek atau DPP (sila lihat PPrISA01 Dokumen Permulaan Projek). Dokumen tersebut digunakan oleh agensi sebagai maklumat bagi menyokong permohonan peruntukan kewangan dan mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan projek ICT selaras dengan peraturan kerajaan sedia ada.