5.1.1 Memulakan Pelaksanaan Projek

Untuk memulakan pelaksanaan projek, Pengurus Projek perlulah melaksanakan tugas yang berikut:

  • Menguruskan pelantikan ahli Jawatankuasa Teknikal Projek dan ahli Pasukan Projek (jika masih belum dilaksanakan pelantikan);
  • Memastikan semua sumber projek mencukupi; dan
  • Mengadakan Mesyuarat Kick Off.

 

a) Mengurus Pelantikan Ahli Jawatankuasa Teknikal Projek dan Ahli Pasukan Projek

 Pelantikan semua yang terlibat dalam projek ICT dibuat oleh ketua agensi.  Oleh itu, Pengurus Projek dan/atau PMO hendaklah menguruskan pelantikan semua ahli Jawatankuasa Teknikal Projek dan semua ahli Pasukan Projek sepertimana yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu Projek.  Setiap makluman pelantikan perlulah disertakan dengan terma rujukan skop tugas supaya semua yang terlibat adalah jelas dengan peranan masing-masing dalam projek ICT yang berkenaan.

 

b) Memastikan Semua Sumber Projek Mencukupi

Pengurus Projek hendaklah berurusan dengan mereka yang bertanggungjawab untuk memastikan penyediaan semua sumber keperluan projek yang telah dinyatakan dalam Pelan Pengurusan Sumber di Fasa Perancangan.  Sebagai contoh, Pengurus Projek perlu berurusan dengan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) agensi untuk dapatkan ruang pejabat bagi kegunaan pasukan projek bekerja, atau perlu berurusan dengan BKP juga bagi melantik pegawai secara kontrak sebagai ahli pasukan projek.

 

c) Mengadakan Mesyuarat Kick Off Projek

Mesyuarat kick off ialah mesyuarat pertama secara rasmi yang diadakan dihadiri oleh semua yang terlibat dalam projek ICT berkenaan, iaitu ahli jawatankuasa pemilik projek, ahli pasukan projek, SME dan pihak kontraktor (bagi projek secara outsourcing atau co-sourcing).  

Tujuan mesyuarat ini adalah untuk memastikan semua yang terlibat dalam projek tersebut adalah jelas dengan:

  • Butiran projek sepertimana yang diperincikan dalam dokumen PPP yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Projek; dan
  • Peranan masing-masing dalam projek.

Supaya mereka akan memberi komitmen dan kerjasama berterusan hingga projek ICT siap dilaksanakan dengan jayanya.