5.1.6 Melaporkan Status Kemajuan Projek

Pengurus Projek ialah bertanggungjawab untuk melaporkan status kemajuan projek kepada semua yang terlibat dalam projek berkenaan.  Pelan Pengurusan Komunikasi yang dibangunkan dalam Fasa Perancangan menjelaskan mekanisme pelaporan yang meliputi jenis laporan, kumpulan sasaran, kekerapan laporan perlu dikemukakan dan media komunikasi.    

Perkara yang perlu dilaporkan ialah status kemajuan aktiviti utama projek berdasarkan kepada skop, perincian status kemajuan setiap aktiviti utama, status kemajuan kewangan, senarai permohonan pindaan dengan impak melaksanakan pindaan,  laporan mengenai isu dan risiko projek serta cadangan untuk menangani isu dan risiko.  

Laporan kemajuan yang disediakan hendaklah mengambil kira baseline projek berdasarkan pelan projek yang diluluskan.  Sebarang perubahan kepada baseline hendaklah mendapatkan kelulusan daripada jawatankuasa-jawatankuasa mentadbir projek.  Bagi projek ICT yang dilaksanakan secara outsourcing, Pengurus Projek dikehendaki mematuhi peraturan kewangan Kerajaan sedia ada jika berlaku pindaan kepada baseline projek.   

PPrISA menyediakan dua templat untuk melaporkan status kemajuan projek, iaitu Laporan Status/Kemajuan Projek Kumpulan (rujuk PPrISA16 ) yang disediakan oleh setiap ketua kumpulan, dan Laporan Status/Kemajuan Projek Keseluruhan (rujuk PPrISA17) yang disediakan oleh Pengurus Projek.