3.2.3 Mengenal Pasti Objektif dan Skop Projek

Pengurus Projek perlu mengenal pasti objektif dan skop projek melalui perbincangan dengan pihak pengurusan atasan, pemilik projek, pegawai yang berkemahiran atau subject matter expert (SME) dalam kerja yang berkaitan serta pihak yang berpengetahuan dalam bidang ICT (sama ada di dalam atau luar agensi ataupun daripada pihak swasta).  Maklumat berikut dapat membantu Pengurus Projek menyediakan objektif dan skop projek yang lebih jelas dalam DPP.

 

a) Objektif Projek

Objektif projek merupakan pernyataan yang ingin dicapai dalam sesuatu projek.  Setiap projek boleh mempunyai lebih daripada satu objektif.  Pernyataan objektif projek yang jelas dan tepat perlu mempunyai ciri-ciri S.M.A.R.T iaitu Specific (spesifik), Measurable (boleh diukur), Achievable (boleh dicapai), Realistic (realistik) dan Time bound (mempunyai tempoh masa tertentu).

 

b) Skop Projek

Skop projek menjelaskan mengenai perkara yang diperlukan untuk menghasilkan serahan utama projek termasuk sempadan (boundary) projek.  Skop projek perlu dinyatakan dengan jelas, tepat dan spesifik bagi mengelakkan penambahan atau pindaan skop atau mengelak wujudnya kekeliruan semasa pembangunan projek supaya serahan projek dapat memenuhi kepuasan pihak berkepentingan dalam projek.