3.2.4 Melaksanakan Kajian Pasaran

Pelaksanaan Projek ICT mempunyai risiko yang tinggi kesan daripada teknologi ICT yang cepat dan kerap berubah serta kos yang tinggi.  Oleh itu, kajian pasaran yang komprehensif diperlukan bagi mendapat maklumat berhubung dengan teknologi terkini, produk yang ditawarkan di pasaran, kos produk di pasaran serta maklumat pembekal bagi menghasilkan satu cadangan yang menyeluruh dan kos yang efektif.

Pemilihan teknologi perlu berdasarkan produk yang paling sesuai dan terbaik untuk projek berkenaan serta dapat memberi pulangan nilai untuk wang (value for money).  Kos infrastruktur ICT dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan yang perlu diambil kira, meliputi kos perolehan semasa projek dilaksanakan dan kos penyenggaraan selepas tamat projek yang perlu ditanggung oleh agensi kelak.

Perkongsian maklumat dan pengalaman dalam kalangan anggota Kerajaan di pelbagai agensi terutama yang terlibat dalam bidang dan fungsi yang serupa juga dapat membantu Pengurus Projek mengenal pasti penyelesaian teknikal (technical solution) yang terbaik.