3.2.7 Menentukan Anggaran Kos

Anggaran kos projek ditentukan berdasarkan maklumat kajian pasaran yang telah dijalankan, sumber-sumber projek yang perlu diperoleh, pengalaman Pengurus Projek sendiri dan juga maklumat yang diperolehi dari mereka yang berpengalaman dalam projek yang serupa. 

Untuk mendapatkan anggaran kos keseluruhan projek, selain kos pembangunan projek perlu juga diperoleh kos penyenggaraan serahan-serahan projek (infrastruktur ICT, sistem aplikasi, perkhidmatan) selepas projek tamat.  Terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan untuk mengira anggaran kos projek seperti yang berikut:

  1. Kaedah Atas bawah

Kaedah ini menggunakan peruntukan kewangan yang telah disediakan untuk melaksanakan projek ICT yang berkenaan.  Peruntukan kewangan tersebut seterusnya diagihkan berdasarkan skop projek dan sumber yang diperlukan untuk melaksanakan projek ICT berkenaan.  

 

       2. Kaedah Bawah ke Atas

Anggaran kos projek untuk melaksanakan setiap aktiviti utama perlu dikenal pasti terlebih dahulu.  Anggaran keseluruhan kos projek diperoleh apabila kos bagi semua aktivti utama tersebut dijumlahkan.

 

       3. Parametrik

Kaedah ini menggunakan parameter tertentu untuk menentukan anggaran kos projek.  Contoh perisian yang boleh digunakan untuk mengira kos pembangunan sesuatu aplikasi ialah Constructive Cost Model atau Model Kos Konstraktif (COCOMO).