4.2.4 Mengenal Pasti Pemilik Projek dan Subject Matter Expert (SME)

Pihak pengurusan agensi perlu mengenal pasti pemilik projek (sekiranya belum dikenal pasti di Fasa Permulaan Projek) dan beberapa orang pegawai sebagai SME bagi projek ICT ini.  Pihak pengurusan agensi perlu memastikan pemilik projek dan SME memberikan komitmen yang tinggi dan terlibat sepenuhnya sepanjang pelaksanaan projek ICT berkenaan.

Seperti yang dinyatakan di perenggan 3.2.1, Pemilik Projek ialah pihak yang akan menerima projek setelah projek tersebut disiapkan dan bertanggungjawab ke atas hampir keseluruhan projek dari aspek bisnes.  Oleh itu, Pemilik Projek perlu memainkan peranan utama dalam menentukan keperluan projek dan pengesahan produk projek (terutama yang berbentuk perkhidmatan).  Pengurus Projek hendaklah memastikan Pemilik Projek menjalani program latihan yang komprehensif supaya mereka dapat memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab atas pemilikan produk setelah siap dibangunkan dan dilaksanakan.   

SME pula bertanggungjawab untuk memberikan input, spesifikasi dan keperluan sebenar projek.  Lazimnya SME ialah berkemahiran dalam bisnes yang dibangunkan termasuk dasar dan peraturan yang berkaitan, seperti pentadbiran tanah, pengurusan sumber manusia, dan pengurusan kewangan dan perakaunan.  Kadangkala SME juga berperanan untuk memastikan serahan projek adalah sepertimana yang dikehendaki dari aspek kualiti.