4.3.3 Mengenal Pasti Tempoh Pelaksanaan Projek

Tempoh pelaksanaan keseluruhan projek hanya boleh diperoleh melalui penjadualan semua tugasan/aktiviti yang telah dikenal pasti.  Memandangkan WBS tidak berupaya untuk menggambarkan kebergantungan dalam kalangan tugasan/aktiviti tersebut, maka Carta Gantt boleh digunakan.  Rajah 4.8 menunjukkan Carta Gantt bagi Projek N yang mengandungi maklumat tempoh pelaksanaan lima aktivitinya dan kebergantungan kalangan aktiviti-aktiviti berkenaan.  Berdasarkan rajah tersebut, tempoh pelaksanaan keseluruhan Projek N ialah 10 bulan.

Rajah 4.8:  Carta Gantt bagi Projek N yang mengandungi 5 aktiviti

Satu lagi teknik yang boleh menunjukkan kebergantungan tugasan/aktiviti dalam bentuk grafik ialah gambar rajah rangkaian atau network diagram (sila rujuk Rajah 4.9).  

Melalui teknik ini, penentuan laluan kritikal atau Critical Path Method (CPM) boleh dikenal pasti, iaitu tempoh paling lama untuk melaksanakan tugasan/aktiviti yang saling berkait.  Konsep CPM ini adalah penting dalam pengurusan projek kerana Pengurus Projek perlu mengurus dengan baik semua aktiviti yang dikenal pasti dalam CPM supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.  Merujuk kepada Rajah 4.9, CPM bagi Projek N ialah CDE, oleh itu aktiviti-aktiviti C, D dan E perlu dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut jadual supaya projek dapat disiapkan dalam tempoh 10 bulan. 

 

Rajah 4.9: Gambar Rajah Rangkaian bagi Projek N

Pada masa ini penyediaan Carta Gantt tidak perlu dibuat secara manual kerana terdapat perisian seperti Microsoft Project atau OpenProj yang boleh digunakan bagi penjadualan projek. 

Contoh Carta Gantt dalam bentuk Microsoft Project adalah seperti di Rajah 4.10.  Merujuk kepada rajah tersebut senarai tugasan atau aktiviti diperoleh daripada WBS adalah disebelah kiri, manakala penjadualan tugasan/aktiviti berkenaan adalah di sebelah kanan rajah tersebut.  Jadual pelaksanaan projek dalam bentuk Carta Gantt atau Microsoft Projek atau OpenProj juga disebut sebagai Pelan Projek

Rajah 4.10:  Pelan Projek atau Jadual Pelaksanaan Projek menggunakan perisian Microsoft Project