4.2.5 Menyediakan Pelan Pengurusan Projek (PPP)

Penyediaan Pelan Pengurusan Projek (PPP) atau Project Management Plan (PMP) merupakan satu aktiviti mandatori dalam Fasa Perancangan Projek.  PPP ialah dokumen paling penting dalam mengurus dan mengawal projek dan menjadi sumber rujukan utama kepada semua yang terlibat.  Ia ialah satu dokumen yang hidup dan perlu dikemas kini sepanjang tempoh pelaksanaan projek selaras dengan sebarang keputusan tadbir urus berkaitan dengan pelaksanaan projek.  Templat PPP adalah seperti dalam PPrISA02 – Pelan Pengurusan Projek.

Pada peringkat ini, Pengurus Projek dikehendaki mengisi templat PPP semua maklumat asas projek hingga ke perenggan 7 (Tadbir Urus dan Struktur Organisasi Projek), berdasarkan maklumat dalam DPP, dan perbincangan yang diadakan dengan pihak pengurusan agensi serta Pemilik Projek. 

Maklumat yang terdapat di perenggan 7 templat PPP hendaklah merangkumi perkara yang berikut:

  • Carta yang menunjukkan struktur organisasi projek;
  • Maklumat Pemilik Projek;
  • Tadbir urus projek (senaraikan jawatankuasa-jawatankuasa yang perlu wujud, termasuk maklumat pengerusi, ahli dan urus setia jawatankuasa serta bidang tugas);
  • Maklumat mengenai SME yang diperlukan; dan
  • Kumpulan projek yang perlu diwujudkan dalam Pasukan Projek.