3.10 Penyediaan Spesifikasi Keperluan Sistem [F2.6]

Keterangan
Spesifikasi Keperluan Perisian (SRS) adalah penerangan terperinci berkenaan sistem aplikasi yang akan dibangunkan merangkumi keperluan fungsian dan bukan fungsian. Dokumen SRS menjelaskan secara menyeluruh keupayaan yang diperlukan oleh satu-satu sistem aplikasi serta merekodkan syarat-syarat (conditions) dan kekangan (constraints) bagi sistem aplikasi berkenaan. Rujuk kepada D03 Spesifikasi Keperluan Sistem untuk melihat format dokumen SRS di mana pengisian kandungan-kandungannya adalah seperti langkah-langkah di bawah.

Objektif
o Menyediakan Model Fungsi Sistem hasil daripada langkah-langkah yang dilaksanakan di dalam Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2].
o Menyediakan Model Maklumat, Definisi Entiti dan Definisi Atribut dengan merujuk kepada langkah-langkah di bawah Pemodelan Keperluan Data [F2.3].
o Menyediakan Model dan Definisi Proses Sistem dengan merujuk kepada langkah-langkah di bawah Pemodelan Proses Sistem [F2.4].
o Menyertakan maklumat yang telah dikenal pasti di dalam Penentuan Keperluan Bukan Fungsian [F2.5].
o Membangunkan dokumen D03 Spesifikasi Keperluan Sistem yang mengandungi model-model seperti di atas serta elemen-elemen lain yang berkaitan.

Bil. Nama Dokumen Muat Turun
1. D03 - Contoh Penyelesaian Dokumen Spesifikasi Keperluan Sistem 

Langkah-langkah


Langkah 1 : Sediakan Pengenalan Kepada Keperluan Sistem


Sila sedia dan lengkapkan pengenalan bisnes bagi perkara-perkara berikut:


a) Tujuan Sistem
Terangkan tujuan, objektif dan matlamat sistem aplikasi ini dibangunkan selaras dengan objektif bisnes yang ingin dicapai.

 

b) Skop Sistem
Jelaskan skop sistem aplikasi berdasarkan skop keperluan bisnes yang telah diperolehi di dalam D02 Spesifikasi Keperluan Bisnes. Skop sistem merangkumi penerangan secara ringkas berkenaan sistem aplikasi yang ingin dibangunkan serta komponen-komponen sistem yang berkaitan dengannya.


c) Senarai Aktor Sistem
Senarai aktor-aktor sistem yang terlibat serta keterangan fungsinya di dalam sistem aplikasi yang akan dibangunkan. Berbeza dengan senarai pemegang taruh dan pengguna di dalam Penyediaan Spesifikasi Keperluan Bisnes [F1.5], penentuan aktor sistem adalah lebih tertumpu kepada peranan pengguna di dalam sistem aplikasi berbanding dengan nama jawatan seseorang individu ataupun nama unit organisasi yang terlibat. Contoh pengisian bagi senarai aktor sistem adalah seperti jadual berikut:

Langkah 2 : Dokumenkan Model Fungsi Sistem


Pemodelan Fungsi Sistem


a) Penggunaan Notasi
Senaraikan notasi-notasi yang akan digunakan untuk menyediakan Model Fungsi Sistem. Rujuk kepada Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2] untuk menyediakan senarai notasi berkenaan.

b) Rajah Hierarki Fungsian Sistem
Sediakan Rajah Hierarki Fungsian Sistem yang terdiri dari komponen-komponen Fungsi Sistem pada tahap sistem, subsistem, modul, submodul dan transaksi. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2] bagi penyediaan rajah serta jadual berkenaan.


c) Jadual Pemadanan Aktor Dengan Fungsi Sistem
Sediakan Jadual Pemadanan Aktor dengan Fungsi Sistem pada tahap transaksi. Rujuk kepada langkah 3 di dalam Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2] bagi penyediaan rajah serta jadual berkenaan. 


Langkah 3 : Dokumenkan Model Use Case


Pemodelan Use Case
a) Penggunaan Notasi
Senaraikan notasi-notasi yang akan digunakan untuk menyediakan Model Use Case. Sila rujuk kepada Pemodelan Use Case [F2.1] untuk menyediakan senarai notasi berkenaan.


b) Model Use Case
Sediakan Model Use Case yang terdiri daripada Rajah Use Case serta keterangan bagi Use Case yang terlibat. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Pemodelan Use Case [F2.1] bagi penyediaan rajah dan keterangan berkenaan.

 

Langkah 4 : Dokumenkan Model Dan Definisi Maklumat


Pemodelan Maklumat


a) Penggunaan Notasi
Senaraikan notasi-notasi yang akan digunakan untuk menyediakan Model Maklumat. Sila rujuk kepada Pemodelan Keperluan Data [2.3] untuk menyediakan senarai notasi berkenaan.


b) Model Maklumat
Sediakan Model Maklumat yang terdiri daripada Rajah Hubungan Entiti. Sila rujuk kepada langkah 1 sehingga 3 di dalam Pemodelan Keperluan Data [2.3] bagi penyediaan rajah berkenaan.

c) Definisi Kamus Data
Sedia dan lengkapkan Definisi Kamus Data bagi setiap entiti dan atribut yang telah disediakan di dalam Rajah Hubungan Entiti. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Pemodelan Keperluan Data [2.3] dan format templat di Apendiks 3 Templat Definisi Kamus Data.


Langkah 5 : Dokumenkan Model Dan Definisi Proses Sistem


Pemodelan Proses Sistem


a) Penggunaan Notasi
Senaraikan notasi-notasi yang akan digunakan untuk menyediakan Model Proses Sistem. Sila rujuk kepada Pemodelan Proses Sistem [F2.4] untuk menyediakan senarai notasi berkenaan.

b) Model Proses Sistem
Sediakan Model Maklumat yang terdiri daripada Rajah Konteks dan Rajah Aliran Data. Sila rujuk kepada langkah 1 sehingga 3 di dalam Pemodelan Proses Sistem [F2.4] bagi penyediaan rajah-rajah berkenaan.

c) Definisi Aliran Data
Sedia dan lengkapkan Definisi Aliran Data berdasarkan kepada Rajah Konteks dan Rajah Aliran Data yang telah dibangunkan. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Pemodelan Proses Sistem [F2.4] dan format templat di Apendiks 5 Definisi Aliran Data.

 

Langkah 6 : Rekodkan Maklumat Keperluan Bukan Fungsian


Maklumat Keperluan Bukan Fungsian yang perlu direkodkan perlu mengambil kira aspek-aspek seperti berikut:

a) Aspek Sistem
b) Aspek Organisasi
c) Aspek Luaran

Lengkap dan sertakan jadual yang mengandungi maklumat keperluan bukan fungsian seperti yang diterangkan di dalam Penentuan Keperluan Bukan Fungsian [F2.4].

 

Langkah 7 : Kirakan Saiz Sistem Aplikasi


Pengenalan kepada kepentingan pengiraan saiz sistem aplikasi telah diperjelas dan diterangkan di dalam 1.6.6 Kepentingan Pengukuran Saiz Sistem Aplikasi. Manakala kaedah pengiraan saiz sistem aplikasi pula telah diterangkan di dalam Bab 8 Pengiraan Saiz Sistem Aplikasi. Sehubungan dengan itu, laksanakan pengiraan saiz sistem aplikasi dengan berdasarkan kepada elemen-elemen yang telah dikenalpasti di dalam SRS. Rujuk kepada bab 8 di dalam Langkah-langkah Pengiraan Saiz Fungsian Sistem Aplikasi di Fasa Analisis untuk mendapatkan penerangan terperinci berkenaan kaedah serta contoh pengiraan saiz sistem aplikasi.


Langkah 8 : Sertakan Dokumen-dokumen Sokongan Sebagai Lampiran


Sertakan dokumen-dokumen sokongan yang perlu dirujuk seperti format borang fizikal, format laporan dan pelbagai lagi dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

 

Langkah 9 : Lakukan Semakan Dan Pengesahan Ke Atas Dokumen SRS


Dokumen SRS perlu dilakukan semakan oleh Ketua Pasukan Analisis dan Reka bentuk, atau pegawai-pegawai yang lain yang bersesuaian. Setelah semakan dilakukan, dokumen SRS yang telah disediakan perlu disahkan oleh Pengurus Projek atau Pengarah Bahagian atau pegawai-pegawai yang lain yang bersesuaian.

 


Rujukan


1. ISO/IEC/IEEE 29148-2011 Systems and software engineering — Life cycle processes — Requirements engineering (2011)
2. IEEE Std 830-1998 - IEEE Recommended Practice for Software Requirements Specifications (1998)
3. IEEE 1233-1998 - IEEE Guide for Developing System Requirements Specifications (1998)
4. Dokumen SRS Projek Sistem Bahagian Pengurusan Hartanah Versi 2 (2016)
5. Dokumen SRS Projek Sistem ePPAx (2016)