7.8 Serahan Sistem Aplikasi [F6.4]

Keterangan

Aktiviti serahan sistem adalah aktiviti terakhir dalam fasa pelaksanaan sistem. Serahan Sistem Aplikasi dilaksanakan oleh pasukan pembangun kepada pemilik sistem. Ianya sering dilaksanakan secara rasmi menerusi sesi sign off projek.

Laporan Serahan sistem perlu disediakan oleh Pasukan Pembangun Sistem Aplikasi dan ianya sebagai dokumen akhir semasa sesi serahan sistem dari pasukan.

Serahan sistem aplikasi akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemandu Projek/ Jawatankuasa Pemandu ICT Agensi ke atas Laporan Penamatan Ujian dan semua dokumen serahan telah dihasilkan.

Objektif

  • Memberi tanggungjawab kepada pemilik projek untuk memiliki sistem aplikasi sebagai aset dalam menyokong proses/tugas organisasi.
  • Penyerahan secara formal sistem aplikasi yang dibangunkan kepada Pemilik Sistem dan Pasukan Operasi untuk meneruskan pelaksanaan dan penyelenggaraan sistem aplikasi.


Langkah-langkah

Langkah 1 : Pastikan Semua Serahan Projek Telah Diselesaikan

a) Pastikan semua serahan dokumen yang dipersetujui dalam Pelan Pembangunan Sistem dihasilkan dengan lengkap dan komprehensif oleh Pasukan Pembangun.

Contoh serahan projek pembangunan Sistem Aplikasi adalah seperti dalam Jadual 2 - Keperluan Minima Dokumentasi Projek Pembangunan Sistem mengikut fasa pembangunan sistem.

b) Semak Laporan Penamatan Ujian.

c) Pakejkan sistem aplikasi yang telah lengkap selepas tempoh FAT.


Langkah 2 : Sediakan Laporan Serahan Sistem Aplikasi

a) Tujuan

Seksyen ini menerangkan tujuan dokumen serahan ini disediakan iaitu dengan menyatakan dokumen-dokumen serahan yang akan disampaikan  dan sebagai perakuan penerimaan sistem.

b) Overview

Seksyen ini menerangkan ringkasan maklumat berkaitan komitmen awal projek pembangunan sistem antara pasukan projek dan pemilik sistem melalui D01 Pelan Pembangunan Sistem atau Piagam Projek yang dipersetujui. Maklumat termasuklah:

  1. Latarbelakang projek
  2. Skop Projek
  3. Serahan Projek
  4. Jadual Pelaksanaan
  5. Keperluan sumber

c) Pencapaian dan Serahan

Seksyen ini menerangkan pencapaian projek pembangunan sistem aplikasi berdasarkan jadual perancangan pelaksanaan yang dipersetujui. Pencapaian termasuklah:

  1. Pencapaian aktiviti projek;
  2. Pencapaian pembangunan Sistem; dan
  3. Pencapaian persediaan dokumentasi serahan sistem.

 

d) Pendekatan Pembangunan

Seksyen ini menerangkan pendekatan pembangunan yang telah diambil sehingga kejayaan pembangunan sistem aplikasi mengikut keperluan pengguna. Seringkali pendekatan yang dinyatakan dalam D01 Pelan Pembangunan Sistem adalah berubah sekiranya perubahan dalam strategi pelaksanaan dan perubahan dalam struktur pasukan projek.   

 

e) Penjimatan

Menyatakan penjimatan yang telah berlaku sepanjang pembangunan sistem aplikasi dilaksanakan. Penjimatan dalam aspek:

  1. Kos Peruntukan dan perbelanjaan
  2. Sumber Manusia
  3. Penggunaan tools dan teknik

f) Faedah Sistem Aplikasi

Seksyen ini menerangkan faedah jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang kepada perkhidmatan penyampaian agensi dengan adanya atau laksananya sistem aplikasi yang dibangunkan menyokong dalam proses bisnes agensi.

 

 

g) Penerimaan Sistem

Seksyen ini adalah mengandungi perakuan serahan dan penerimaan serahan dokumen dan sistem aplikasi yang dibangunkan oleh pasukan projek/pembangun sistem kepada pemilik sistem.

 

Perakuan dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua (2) pihak:

  1. Pengurus/Pengarah Projek
  2. Pemilik Projek/Sistem

Rujuk kepada D18 Laporan Serahan Sistem.

 

Langkah 3 : Aturkan Sesi Penyerahan Sistem Aplikasi

Sesi penyerahan sistem aplikasi mengambilkira perkara berikut:

  1. Penglibatan Pasukan Pembangun, Pemilik Sistem dan wakil SME.
  2. Penyerahan bersama-sama dokumen serahan yang dipersetujui dan dalam D01 Pelan Pembangunan Sistem.
  3. Dilakukan dalam sesi Sign-Off antara Pasukan Pembangun dan Pemilik Sistem.