3.6 Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2]

Keterangan

Pemodelan Fungsi Sistem adalah teknik untuk mengenal pasti dan menstruktur fungsi-fungsi di dalam sistem yang ingin dibangunkan. Teknik ini adalah berpandukan kepada rajah-rajah Use Case yang telah disediakan dalam Pemodelan Use Case [F2.1] dan Rajah Hierarki Fungsi Bisnes di dalam Pemodelan Fungsi Bisnes [F1.3]. 

Hasil Pemodelan Fungsi Sistem direpresentasi dalam bentuk Rajah Hierarki Fungsian Sistem. Rajah ini memaparkan struktur sistem di mana tahap heirarkinya bermula dari sistem itu sendiri dan diikuti oleh subsitem-subsistem, modul-modul, submodul-submodul dan transaksi-transaksi yang berkaitan dengannya. Rajah Hierarki Fungsian Sistem akan diiringi dengan senarai peranan-peranan pengguna yang terlibat di bawah satu-satu transaksi sistem.

 

Objektif

  • Menyediakan Rajah Hierarki Fungsian Sistem yang memaparkan struktur fungsi sistem yang ingin dibangunkan.
  • Menyediakan Jadual Pemadanan Aktor dengan Fungsi Sistem pada tahap transaksi.

Langkah-langkah 

Langkah 1 : Terjermahkan Model Use Case Kepada Fungsi Sistem


  1. Fungsi-fungsi Sistem terbahagi kepada lima tahap, iaitu:
    1. Sistem
    2. Subsistem
    3. Modul
    4. Submodul
    5. Transaksi

      Namun begitu, satu-satu sistem tidak semestinya perlu merangkumi kelima-lima tahap tersebut oleh kerana pemilihan tahap Fungsi Sistem adalah bergantung kepada saiz dan juga kompleksiti aplikasi yang ingin dibangunkan. Bagi aplikasi yang bersaiz besar dan sangat kompleks, struktur aplikasinya berkemungkinan memerlukan kesemua tahap Fungsi Sistem seperti yang dinyatakan di atas. Manakala aplikasi yang bersaiz kecil pula perlu sekurang-kurangnya mengandungi struktur pada tahap sistem, modul dan transaksi sahaja.

  2. Pendekatan yang diambil untuk membangunkan Model Fungsi Sistem adalah secara bottom-up di mana ia dimulakan dengan mengenal pasti Fungsi Sistem di tahap transaksi dahulu.
  3. Sekiranya sistem aplikasi yang hendak dibangunkan adalah besar dan kompleks, Model Fungsi Sistem boleh disediakan secara berasingan mengikut subsistem, modul atau submodul bagi tujuan kekemasan serta mengelakkan rajah hierarki menjadi terlalu besar dan kompleks.
  4. Dengan merujuk kepada semua Use Case yang telah disediakan di dalam Pemodelan Use Case [F2.1], kenal pasti setiap Use Case yang terlibat khususnya Use Case yang berinteraksi secara terus dengan aktor-aktor.
  5. Setiap Use Case yang berinteraksi secara terus dengan aktor akan terus diterjemahkan sebagai Fungsi Sistem pada tahap transaksi bagi satu-satu modul atau submodul. Use Case sebigini dikategorikan sebagai Use Case
  6. Use Case yang tidak berinteraksi secara terus dengan aktor perlu juga dianggap sebagai salah satu komponen Fungsi Sistem pada tahap transaksi, tetapi kedudukan lokasinya mungkin berbeza dan berada di bawah modul atau submodul yang berlainan. Use Case sebegini berinteraksi dengan Use Case induk melalui hubungan seperti include, extend dan generalization. Kedudukan di mana komponen Fungsi Sistem ini diletakkan adalah bergantung sama ada Use Case sebegini adalah :
    1. Transaksi Am

Transaksi Am merupakan komponen Fungsi Sistem yang diterjemahkan dari Use Case yang berhubung bukan sahaja dengan satu Use Case induk malah juga dengan Use Case induk yang lain di dalam modul/submodul yang berbeza. Kesemua Transaksi Am yang telah dikenalpasti akan dikumpulkan di bawah satu modul atau submodul yang umum. Sebagai contoh, transaksi seperti Carian Pengguna dan Muat Naik Dokumen akan diletakkan di bawah Modul atau Submodul Penyelenggaraan.

ii. Transaksi Khusus

Transaksi Khusus merupakan komponen Fungsi Sistem yang diterjemahkan dari Use Case yang hanya berhubung dengan Use Case induk yang berkait dengannya sahaja dalam satu-satu transaksi atau submodul yang sama. Use Case tersebut tidak akan berkongsi dan berhubung dengan Use Case induk yang berada di bawah modul atau submodul yang lain. Kedudukan Transaksi Khusus ini akan diletakkan di bawah modul atau submodul yang ia terlibat.

g. Setelah satu-satu Fungsi Sistem pada tahap transaksi selesai dilakukan, terjemahkan pula tajuk Rajah Use Case kepada Fungsi Sistem pada tahap modul atau/dan submodul. Gunakan Rajah Hierarki Fungsi Bisnes yang disediakan di Pemodelan Fungsi Bisnes [F1.3] sebagai rujukan untuk menentukan struktur dan kedudukan satu-satu Fungsi Sistem pada tahap modul dan submodul itu berada.

h. Sekiranya sistem aplikasi yang dibangunkan adalah kompleks dan memerlukan kedua-dua Fungsi Sistem pada tahap modul dan juga submodul, pastikan semua submodul yang telah dikenalpasti adalah berkaitan dan dikumpulkan di bawah modul yang relevan dengannya.

i. Fungsi Sistem pada tahap subsistem hanya dikenalpasti sekiranya satu-satu sistem aplikasi yang dibangunkan itu adalah besar dan terdapat keperluan untuk sistem tersebut dipecahkan kepada sub-subsistem yang berasingan. Bagi kes ini, kumpulkan semua Fungsi Sistem pada tahap modul, submodul dan transaksi yang berkaitan dengan subsistem yang sesuai.

j. Kandungan Fungsi Sistem pada tahap sistem adalah merupakan nama sistem aplikasi yang telah dipersetujui dan dipilih oleh kementerian/jabatan/agensi/organisasi yang terbabit. Perlu diingati bahawa Fungsi Sistem pada tahap ini hanya boleh terdiri dari satu komponen sahaja bagi satu-satu sistem aplikasi.

 

Langkah 2 : Sediakan Hubungan Di Antara Fungsi-fungsi Sistem


  1. Sebelum hubungan-hubungan dilukis, pastikan Fungsi-fungsi Sistem diletakkan dalam kedudukan hierarki berbentuk hibrid di mana pada kebiasaanya Fungsi-fungsi Sistem pada tahap sistem, subsistem dan modul ditempatkan secara menegak (vertical), manakala Fungsi Sistem pada tahap submodul dan transaksi pula berada dalam kedudukan mendatar (horizontal). Namun begitu, kedudukan Fungsi Sistem pada setiap tahap-tahap ini boleh berubah dan bergantung kepada kompleksiti dan saiz sistem aplikasi ataupun rajah hierarki yang ingin dibangunkan.
  2. Lakarkan hubungan di antara semua Fungsi-fungsi Sistem bermula dari tahap sistem, subsistem, modul, submodul sehingga ke tahap transaksi. Hubungan-hubungan ini dilukiskan dengan menggunakan notasi Penghubung sama ada ia merupakan garis mendatar atau menegak. Contoh hubungan di antara Fungsi-fungsi Sistem bagi Modul Pengurusan Tempahan di bawah Sistem Tempahan Bilik Mesyuarat (eTempah) adalah seperti rajah hierarki berikut:

Langkah 3 : Padankan Aktor Sistem Dengan Fungsi Sistem


  1. Rujuk kepada aktor-aktor dengan setiap Use Case yang berinteraksi di antara satu sama lain dalam Pemodelan Use Case (Fungsian) [F2.1] sebelum satu-satu pemadanan dilakukan. Pemadanan setiap aktor sistem dengan Fungsi Sistem dikenalpasti berdasarkan kepada hubungan semua aktor yang terlibat dengan satu-satu use case.
  2. Use Case yang telah dikenalpasti kemudiannya diterjemahkan kepada Fungsi Sistem pada tahap transaksi, seperti yang telah diperjelaskan dalam Langkah 1.
  3. Aktor-aktor sistem yang telah dipadankan dengan setiap Fungsi Sistem pada tahap transaksi boleh dipapar sama ada dengan menggunakan jadual matriks ataupun jadual-jadual lain yang bersesuaian. Contoh jadual yang boleh diguna pakai dalam pemadanan aktor sistem dengan transaksi adalah seperti berikut:

 

Langkah 4 : Kemaskini ID Use Case 


Kemaskini ID Use Case Sementara di dalam rajah-rajah Use Case yang telah dibangunkan di Pemodelan Use Case [F2.2] kepada ID Use Case seperti notasi di atas yang berlandaskan kepada struktur ID Fungsi Sistem yang telah disediakan.

 

Langkah 5 : Muktamadkan Model Fungsi Sistem Dengan SME


  1. Rajah Hierarki Fungsian Sistem dan Jadual Pemadanan Aktor dengan Fungsi Sistem yang telah disediakan perlu disemak dan disahkan oleh pihak SME. Semakan perlulah mengambil kira perkara-perkara seperti di bawah :
    1. Lengkap dan terperinci
    2. Ketepatan Fungsi Sistem dan hubungannya dengan aktor sistem
  2. Pihak SME dan juga pasukan pembangunan perlu mempunyai kefahaman yang jelas semasa proses semakan berkenaan dengan Fungsi-fungsi Sistem terlibat merangkumi sistem, subsistem, modul, submodul dan transaksi yang ingin dibangunkan.

 

Langkah 6 : Sediakan Model Fungsi Sistem Secara Iteratif 


Penyediaan dan pembangunan Model Fungsi Sistem perlu dilaksanakan secara iteratif bagi meningkatkan tahap komprehensif dan keperincian rajah hierarki dan maklumat yang direkodkan. Perubahan dan pindaan perlu dilakukan berdasar kepada sebarang tambahan baharu kepada keperluan bisnes dan sistem.

 

Langkah 7 : Dokumenkan Model Fungsi Sistem


  1. Dokumen dan masukkan hasil Pemodelan Fungsi Sistem (Rajah Hierarki Fungsian Sistem dan Jadual Pemadanan Aktor dengan Fungsi Sistem) yang telah dibangunkan ke dalam D03 Spesifikasi Keperluan Sistem.
  2. Rujuk kepada Penyediaan Spesifikasi Keperluan Sistem [F2.6] bagi mengenalpasti ruangan di mana model tersebut perlu diletakkan.

 

 

Rujukan


  1. Gary, B. S. & Harry, J. R. (2012). System Analysis and Design. Ninth Edition. Boston: Course Technology
  2. Dennis, A., Wixom, B. H., & Roth, R. M. (2012). Systems Analysis and Design. Fifth Edition. USA: John Wiley & Sons, Inc.
  3. Wiegers, K., E. & Joy, B. (2013). Software Requirements. Third Edition. Washington: Microsoft Press