6.8 Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) [F5.4]

Keterangan

Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) sistem aplikasi dilaksana pada persekitaran pengujian (Staging atau Test Environment). Keberkesanan integrasi dan data migrasi juga akan diuji semasa sesi UAT. Senario pengujian dan skrip ujian perlu dibangunkan bagi memastikan  setiap keperluan dapat diuji secara menyeluruh.

 

Bagi memastikan keberkesanan UAT, sesi Walkthrough bersama pengguna sistem perlu dilaksanakan untuk menilai kesesuaian senario ujian. Selain daripada itu, smoke test/sanity test juga perlu dilaksanakan oleh pasukan pembangun untuk memastikan fungsi-fungsi utama sistem berjalan dengan lancar sebelum UAT sebenar dilaksanakan.

 

Perancangan UAT sangat penting dalam memastikan :

  1. Semua peranan pengguna dapat diuji;
  2. Semua keperluan sistem dapat diuji; dan
  3. Semua senario ujian dapat diuji bagi mencapai 100% liputan ujian (test coverage)

 

UAT boleh dilaksanakan dalam beberapa kitaran mengikut perancangan di dalam Pelan Ujian UAT atau berdasarkan keperluan pengguna (bergantung kepada hasil ujian). Hasil ujian akan direkodkan dan dijadikan rujukan bagi aktiviti pembetulan ralat dan pengujian semula. Setelah UAT tamat, Laporan UAT akan dikeluarkan sebagai rujukan dan entry criteria untuk PAT.

 

Objektif

  • Mengesahkan bahawa sistem yang telah dibangunkan memenuhi keperluan fungsian yang telah digariskan oleh pengguna.
  • Mengesahkan bahawa sistem bebas daripada ralat (high severity bugs) yang boleh menjejaskan operasi sistem.
  • Mendapatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan sistem di dalam persekitaran sebenar.

 

Langkah-langkah

Langkah 1 :  Tentukan Entry Criteria dan Exit Criteria Bagi Ujian Penerimaan Pengguna (User Acceptance Test - UAT)

 

a) Entry Criteria dan Exit Criteria UAT perlu ditetapkan dan dipersetujui terlebih dahulu di antara pembangun sistem, pasukan penguji, pemilik sistem dan pemegang taruh yang berkenaan.

b) Contoh bagi Entry Criteria UAT :

  1. Ujian Sistem telah dilaksanakan dengan sempurna.
  2. Ralat/Pepijat yang dilaporkan dalam ujian unit telah diperbaiki, disahkan oleh wakil pengguna dan tiada lagi Ralat/Pepijat:
    • Prioriti Tinggi atau Sederhana dan
    • Severity Tinggi, Sederhana, dan Rendah
  3. Pelan UAT telah disahkan oleh Pasukan Projek.
  4. Staging atau Test Environment telah disediakan.
  5. System Under Test (SUT) telah disediakan dalam Staging atau Test Environment.
  6. Senario Ujian telah disediakan oleh Pasukan Pembangun Sistem dan telah disahkan oleh Pasukan Projek.
  7. Skrip Ujian telah disediakan oleh Pasukan Pembangun Sistem dan telah disahkan oleh Pasukan Projek.
  8. Data Ujian telah disediakan dan dimasukkan ke dalam pangkalan data SUT.
  9. Pasukan Projek telah menerima keputusan Ujian Sistem dan/atau memberi kebenaran untuk memulakan UAT.
  10. Pasukan penguji UAT telah diberikan penerangan.

c) Contoh bagi Exit Criteria UAT:

  1. 100% Senario Ujian telah diuji
  2. 95% Kes Ujian telah lulus dalam ujian.
  3. 100% Liputan Ujian telah dicapai.
  4. Semua ralat dengan tahap severity 1 dan 2 telah diperbaiki, diuji semula dan ditutup.
  5. Laporan Penamatan UAT telah diserahkan dan disahkan oleh pemilik projek.

 

Langkah 2 : Laksanakan UAT

a) UAT melibatkan pemegang taruh seperti berikut:

  1. SME (Pemilik Modul)
  2. Pasukan Projek
  3. Wakil Pengguna
  4. Wakil pasukan operasi

 c) Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan semasa UAT adalah :

  1. Pengujian perisian atau aplikasi pada persekitaran Staging atau Test Environment.
  2. Pengujian fungsian berdasarkan senario sebenar pengguna melaksanakan kerja menggunakan aplikasi tersebut.
  3. Melaksanakan sekurang-kurangnya satu (1) UAT lengkap.
  4. Mendapatkan persetujuan bertulis Pasukan Projek untuk meneruskan fasa pengujian berikutnya.
  5. Melaksanakan Defect Classification.

 

Langkah 3 : Sediakan Laporan Ujian Peneriman Pengguna (UAT)

Setelah pelaksanaan UAT disempurnakan, Laporan Ujian Penerimaan Pengguna perlu disediakan. Rujuk Laporan Ujian Penerimaan (UAT & PAT) [F5.6].

 

Rujukan

ISO/IEC 29119-3:2013: Software and systems engineering- Software testing - Part 3: Test Documentation.