6.9 Ujian Penerimaan Provisional (PAT) [F5.5]

Keterangan

Ujian Penerimaan Provisional (PAT) merangkumi ujian fungsian dan bukan fungsian ke atas sistem aplikasi yang telah dibangunkan. Ia adalah ujian akhir sebelum sistem aplikasi dilancarkan (go live).  Objektif PAT adalah untuk  menilai keupayaan sistem beroperasi di dalam persekitaran yang sebenar.

Bagi menguji fungsian sistem di dalam PAT, ia akan dibuat secara selektif. Hanya sebahagian fungsi akan dipilih untuk diuji kerana keseluruhan fungsi telah diuji semasa UAT. Pemilihan fungsi untuk diuji boleh dibuat berdasarkan fungsi kritikal atau fungsi (modul)  mengikut lokasi  PAT yang telah dipilih.

Ujian bukan fungsian di dalam PAT merangkumi ujian prestasi, ujian bebanan, ujian tekanan dan juga ujian keselamatan.

 

Objektif

  • Memastikan bahawa sistem yang telah dibangunkan memenuhi keperluan fungsian dan bukan fungsian yang telah ditetapkan pengguna.
  • Memastikan bahawa sistem bebas daripada ralat kritikal (high severity bugs) yang boleh menjejaskan operasi sistem.
  • Mendapatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan sistem di dalam persekitaran sebenar.

 

Langkah-langkah

Langkah 1 : Tentukan Entry Criteria dan Exit Criteria Ujian Penerimaan Provisional (Provisional Acceptance Test - PAT)

a) Entry Criteria dan Exit Criteria PAT perlu ditetapkan dan dipersetujui terlebih dahulu di antara pembangun sistem, pasukan penguji, pemilik sistem dan pemegang taruh yang berkenaan.

b) Contoh Entry Criteria PAT :

  1. UAT telah dilaksanakan dengan sempurna.
  2. Ralat yang dilaporkan dalam UAT telah diperbaiki dan disahkan oleh wakil pengguna dan tiada lagi Ralat/Pepijat
    • Prioriti Tinggi atau Sederhana dan
    • Severity Tinggi, Sederhana, dan Rendah
  3. Tempoh PAT atau Pilot Run telah ditetapkan (sekurang-kurangnya untuk satu (1) bulan mengikut keperluan projek).
  4. Pengguna Pilot telah dikenalpasti.
  5. Lokasi Pilot telah dikenalpasti.
  6. Strategi untuk PAT atau Pilot Run telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Projek.
  7. Pre-production Environment atau Production Environment telah disediakan.
  8. Migrasi data telah dilaksanakan.
  9. Manual Sistem telah disiapkan dan diluluskan untuk kegunaan PAT.
  10. Pengguna telah diberikan penerangan dan latihan menggunakan sistem.
  11. Semua sistem terlibat telah sedia.
  12. SUT telah dilancarkan di semua lokasi PAT.

Contoh Exit Criteria PAT:

  1. Semua ralat dengan tahap severity 1 dan 2 telah diperbaiki, diuji semula dan ditutup.
  2. Laporan Penamatan PAT telah diserahkan dan disahkan oleh pemilik projek.

 

Langkah 2 : Laksanakan PAT

a) PAT melibatkan pemegang taruh seperti berikut:

  1. Pembangun SIstem
  2. Pasukan Projek
  3. SME (Pemilik Modul)
  4. Pengguna Pilot
  5. Pasukan Operasi

b) Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan semasa PAT adalah :

  1. Pembangun sistem melakukan instalasi SUT di Production Environment, lengkap dengan data yang telah dimigrasi dari sistem legasi dan/atau proses manual.
  2. Pembangun sistem menyediakan pasukan pemantau PAT yang dilengkapi dengan peralatan komunikasi.
  3. Memastikan ujian bukan fungsian (Non Functional Test) dilaksanakan :
    • Ujian prestasi (Performance Test) – untuk mengenal pasti bagaimana sistem bertindak di bawah beban kerja dan kekangan tertentu untuk melaksanakan sesuatu fungsi.
    • Ujian bebanan (Load Test) – untuk memastikan tindak balas sistem apabila berada di bawah beban yang berbeza (rendah, sederhana, tinggi).
    • Ujian tekanan (Stress Test) – untuk menentukan tindak balas sistem apabila diberi tekanan tertentu (melangkaui beban yang boleh ditampung oleh sistem).
    • Ujian keselamatan (Security Test) – untuk memastikan tahap kerentanan (vulnerability) sistem terhadap ancaman keselamatan tertentu.
  4. PAT dilakukan sekurang-kurangnya untuk tempoh satu (1) bulan mengikut keperluan projek:
    • Satu (1) lokasi sekiranya semua pengguna berada di lokasi yang sama, atau
    • Menetapkan lokasi-lokasi yang berlainan sekiranya melibatkan pengguna luar
  5. Pembangun sistem melakukan deployment dan melancarkan SUT di setiap lokasi.
  6. Pembangun sistem menempatkan Deployment Engineer di lokasi untuk suatu tempoh yang dipersetujui (contohnya dua (2) hari) bagi memantau dan melaporkan status.
  7. Pembangun sistem memantau, menyediakan dan mengemukakan laporan status PAT kepada agensi bagi tujuan semakan dan penerimaan PAT.
  8. Pasukan Operasi memantau panggilan/laporan ke Help Desk untuk masalah yang dilaporkan oleh pengguna, dan melaporkan kepada Pasukan Projek.
  9. Pembangun sistem melakukan siasatan dan membuat pembaikan terhadap ralat yang dilaporkan oleh pengguna.
  10. Pembangun sistem melakukan tampalan (patch) terhadap software atau konfigurasi terhadap SUT, dalam tempoh penyelenggaraan (Maintenance Window) terhadap SUT.

 

Langkah 3 : Sediakan Laporan Ujian Peneriman Provisional (PAT)

Setelah pelaksanaan PAT disempurnakan, Laporan Ujian PAT perlu disediakan. Rujuk Laporan Ujian Penerimaan (UAT & PAT) [F5.6].

 

Rujukan

  1. ISO/IEC 29119-3:2013: Software And Systems Engineering- Software Testing - Part 3: Test Documentation.