8.3 Pengiraan Saiz Fungsian Sistem Aplikasi di Fasa Permulaan Projek

Pengiraan saiz sistem aplikasi di Fasa Permulaan Projek adalah merupakan pengiraan awal saiz bagi membantu satu-satu organisasi membuat anggaran sumber, masa serta perancangan lain yang diperlukan bagi pembangunan sistem aplikasi terlibat. Penentuan dan pengiraan saiz sistem aplikasi di Fasa Permulaan Projek akan merujuk kepada model-model yang dibangunkan di dalam fasa ini, iaitu Rajah Hierarki Bisnes - Pemodelan Fungsi Bisnes [F1.3], Rajah Aliran Proses dan Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes - Pemodelan Proses Bisnes [F1.4]. Langkah-langkah pengiraan saiz sistem aplikasi di Fasa Permulaan Projek adalah seperti berikut:

 

a) Kenalpasti Kompleksiti Komponen Fungsi bagi Fungsi Data

 

i) Tentukan bilangan ILF / EIF

Penentuan bilangan ILF/EIF adalah berdasarkan kepada bilangan kumpulan maklumat yang telah disenaraikan di dalam Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes. Berikut adalah kaedah-kaedah bagi menentu dan mengirakan bilangan ILF/EIF di dalam Fasa Permulaan Projek: 

  • Setiap kumpulan maklumat boleh dianggap mempunyai hubungan independent di antara satu sama lain dan setiapnya mempunyai ILF/EIF yang berasingan. Namun begitu, andaian hubungan ini tidak terpakai sekiranya terdapat hubungan di antara kumpulan-kumpulan maklumat berkenaan telah jelas dikenalpasti.
  • Individu yang melaksanakan penentuan ILF/EIF perlu juga melakukan andaian untuk merangkumkan bersekali kumpulan-kumpulan maklumat tambahan, seperti jadual rujukan (look up table), sekiranya maklumat tersebut tidak disenaraikan di dalam Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan ILF/EIF bagi kumpulan maklumat yang sama tidak boleh dilakukan secara berulang kali.

 

ii) Tentukan bilangan RET

Penentuan bilangan RET adalah berdasarkan kepada bilangan kumpulan-kumpulan maklumat yang berhubung kait di dalam satu-satu ILF/EIF. Berikut adalah kaedah-kaedah bagi menentu dan mengirakan bilangan RET di dalam Fasa Permulaan Projek: 

  • Pengiraan bilangan RET boleh dilakukan dengan menganggap bahawa setiap ILF/EIF bagi kumpulan-kumpulan maklumat yang terlibat hanya mempunyai bilangan RET sebanyak 1 sahaja. Anggapan ini dibuat oleh kerana hubungan di antara kumpulan-kumpulan maklumat masih belum lagi dapat dikenalpasti secara terperinci pada fasa ini, melainkan individu yang melakukan pengiraan adalah serba mahir dalam bidang pemodelan keperluan maklumat serta mampu untuk melakukan andaian kepada struktur pangkalan data yang akan dibangunkan pada fasa-fasa berikutnya.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan RET bagi kumpulan maklumat yang sama tidak boleh dilakukan berulang kali walaupun kumpulan maklumat tersebut berhubung kait di bawah ILF/EIF yang berbeza.

 

iii) Tentukan bilangan DET

 Penentuan bilangan DET bagi Fungsi Data adalah berdasarkan kepada bilangan data di bawah satu-satu ILF/EIF dengan merujuk kepada kumpulan maklumat yang telah dikenalpasti di dalam Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan DET di dalam Fasa Permulaan Projek: 

  • Senaraikan dan kira bilangan data-data yang terkandung di bawah satu-satu kumpulan maklumat termasuk kumpulan maklumat tambahan yang telah diandaikan sebelum ini. Setiap data yang telah dikenalpasti mempunyai nilai DET sebanyak 1 sahaja.
  • Data-data yang dianggap sebagai kunci primer (primary key) bagi setiap kumpulan maklumat tidak akan ditentukan sebagai DET sekiranya data tersebut hanya merupakan artifak teknikal di mana ia tidak memberi makna kepada bisnes dan bukan terdiri dari maklumat yang boleh difahami oleh pengguna (non user-recognizable). Sekiranya data-data kunci primer tersebut digunakan sebagai kunci sekunder di dalam kumpulan maklumat yang lain, data kunci sekunder tersebut akan dianggap sebagai DET.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan DET bagi data yang sama tidak boleh dilakukan berulang kali melainkan data yang sama juga diletakkan di dalam kumpulan maklumat yang berbeza.

 

iv) Tentukan kompleksiti setiap ILF / EIF 

Berdasarkan kepada bilangan ILF/EIF, FTR dan DET yang telah ditentukan, rujuk kepada Jadual Matriks Kompleksiti bagi Fungsi Data seperti di 8.2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk menentukan tahap kompleksiti setiap komponen fungsi yang telah dikenalpasti.

 

v) Lengkapkan Jadual Penentuan Tahap Kompleksiti Fungsi Data 

Gunakan jadual di bawah untuk merekodkan nama kumpulan maklumat, data yang terlibat, bilangan ILF/EIF, FTR, DET serta kompleksitinya yang telah dikenalpasti di dalam langkah-langkah yang sebelum.

 

b) Kenalpasti kompleksiti komponen fungsi bagi Fungsi Transaksi  

i) Kenalpasti Fungsi Transaksi Asas

Berdasarkan kepada Rajah Hierarki Fungsi yang telah disediakan di dalam Pemodelan Fungsi Bisnes [F.1.2]­, kenalpasti setiap Fungsi Transaksi Asas (Elementary Function) yang terlibat dengan bisnes dan sistem yang ingin dibangunkan.

 

ii) Tentukan bilangan EI, EO dan EQ

Penentuan bilangan komponen fungsi EI, EO dan EQ berdasarkan kepada interaksi pengguna dengan aktiviti-aktiviti bisnes di dalam Rajah Aliran Proses dan Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan EI, EO dan EQ di dalam Fasa Permulaan Projek:

  • Bagi setiap aktiviti bisnes yang telah dikenalpasti di dalam Rajah Aliran Proses, tentukan sama ada aktivit-aktiviti tersebut adalah terdiri daripada komponen fungsi EI, EO atau/dan EQ.
  • Setiap akitiviti bisnes di dalam Rajah Aliran Proses boleh mengandungi lebih dari satu jenis komponen fungsi sama ada kombinasi di antara EI dengan EO ataupun EQ.
  • Jenis komponen fungsi yang sama tidak boleh bertindih dan dikira berulang kali di bawah satu-satu aktiviti bisnes yang sama.

 

iii) Tentukan bilangan FTR

Penentuan bilangan FTR adalah berpandukan kepada bilangan dan hubungan di antara kumpulan-kumpulan maklumat yang terlibat di dalam transaksi aktiviti bisnes bagi setiap komponen fungsi EI, EO dan EQ yang telah dikenalpasti. Rujuk kepada Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes dan juga senarai ILF/EIF yang telah ditentukan di dalam Fungsi Data untuk menentukan bilangan kumpulan maklumat yang terlibat serta hubungannya di antara satu sama lain. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan FTR di dalam Fasa Permulaan Projek:

  • Berdasarkan kepada senarai ILF/EIF di dalam Fungsi Data, kenalpasti bilangan dan hubungan di antara kumpulan-kumpulan maklumat yang berinteraksi dengan aktiviti bisnes di bawah satu-satu komponen fungsi EI, EO atau EQ.
  • Jumlah bilangan komponen fungsi ILF/EIF yang terlibat dengan aktiviti bisnes berkenaan adalah merupakan bilangan FTR yang akan diperolehi.

 

iv) Tentukan bilangan DET 

Penentuan bilangan DET bagi Fungsi Transaksi adalah bergantung kepada bilangan data yang digunakan di dalam transaksi setiap komponen fungsi EI, EO atau EQ bagi satu-satu aktiviti bisnes. Rujuk kepada ruangan Pengguna Maklumat di dalam Definisi Aktiviti Fungsi Bisnes untuk mengetahui maklumat/data yang terlibat bagi setiap aktiviti bisnes terlibat. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan FTR di dalam Fasa Permulaan Projek:

  • Bagi komponen fungsi EI, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data yang dimasukkan, dikemaskini atau/dan dihapuskan.
  • Bagi komponen fungsi EO, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data data yang dipaparkan melalui pengiraan atau logik pengaturcaraan.
  • Bagi komponen fungsi EQ, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data-data yang dipaparkan secara terus tanpa melalui pengiraan atau logik pengaturcaraan.
  • Berbeza dengan pengiraan bilangan DET di dalam Fungsi Data, penentuan dan pengiraan bilangan DET bagi Fungsi Transaksi boleh dilakukan berulang kali bagi data-data yang sama di bawah fungsi atau aktiviti bisnes yang berbeza.

 

v) Tentukan kompleksiti setiap EI. EO dan EQ

Berdasarkan kepada bilangan EI, EO, EQ, FTR dan DET yang telah ditentukan, rujuk kepada Jadual Matriks Kompleksiti bagi Fungsi Transaksi seperti di 8.2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk menentukan tahap kompleksiti setiap komponen fungsi yang telah dikenalpasti.

 

vi) Lengkapkan Jadual Penentuan Tahap Kompleksiti Fungsi Data

Gunakan jadual di bawah untuk merekodkan nama aktiviti, kumpulan maklumat dan data yang terlibat, bilangan EI, EO, EQ, RET, DET serta kompleksitinya yang telah dikenalpasti di dalam langkah-langkah yang sebelum.

 

c) Kirakan Value Adjustment Function (VAF) 

i)  Tentukan dahulu kadar pengaruh bagi empat belas (14) Ciri-Ciri Am Sistem (GSC) seperti yang disenarai dan diperjelaskan di dalam 8.2.1.3 Empat Belas Ciri-ciri Am Sistem (GSC). Tambahkan skor-skor yang telah diberikan kepada ciri-ciri am berkenaan untuk mendapatkan nilai ΣCi. 

ii)  Dengan berpandukan kepada formula pengiraan seperti yang diterangkan di dalam 8.2.2 Pengiraan Value Adjustment Factor, masukkan nilai ΣCi yang telah diperolehi ke dalam formula di bawah untuk mendapatkan nilai VAF. 

VAF = 0.65 + [(ΣCi) / 100]

 

d) Kirakan Unadjusted Function Points (UFP) 

i)  Berdasarkan maklumat kompleksiti yang telah diperolehi melalui penentuan berdasarkan Fungsi Transaksi dan Fungsi Data, rujuk kepada Jadual Penterjemahan Saiz seperti di 2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk mendapatkan nilai Function Points (FP) bagi setiap komponen fungsi yang telah dikenal pasti. 

ii) Gunakan jadual serta formula pengiraan seperti di dalam 8.2.3 Pengiraan Unadjusted Function Points untuk mendapatkan nilai UFP.

 

e) Kirakan Adjusted Function Points (AFP)

Berpandukan kepada nilai VAF dan UFP, gunakan formula pengiraan seperti di 8.2.4 Pengiraan Adjusted Function Points (AFP) untuk mendapatkan nilai AFP.

 

f) Kirakan Anggaran Effort, Masa dan Kos Pembangunan 

Berikutan daripada nilai AFP yang telah diperolehi, nilai tersebut akan digunakan untuk melakukan pengiraan anggaran effort, masa dan kos pembangunan keseluruhan sistem aplikasi ataupun fungsi-fungsi di dalamnya. Rujuk 8.2.5 Pengiraan Anggaran Effort dan Kos Pembangunan Sistem untuk mendapatkan keterangan lanjut berkenaan dengan formula-formula pengiraan effort, masa dan kos.