4.12 Integrasi Sistem

Terdapat pelbagai sistem aplikasi dibangunkan untuk menyokong fungsi sesebuah organisasi. Kewujudan pelbagai sistem aplikasi yang beroperasi secara silo menyebabkan pertindihan fungsi dan duplikasi data. Integrasi sistem dilaksanakan untuk membolehkan sistem-sistem aplikasi yang berasingan dapat melaksanakan tugas secara bersepadu dan seamless. Ini dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan memudahkan organisasi mencapai matlamatnya. Selain itu, integrasi sistem juga dapat meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan data.

2 aktiviti utama Integrasi Sistem dalam Fasa Reka bentuk iaitu:

  1. Penyediaan Pelan Integrasi Sistem; dan
  2. Reka bentuk Integrasi Sistem.

4.12.1 Penyediaan Pelan Integrasi Sistem [F3.9]

Keterangan

Pelan integrasi dibangunkan sebagai panduan dan rujukan bagi keseluruhan pelaksanaan integrasi sistem. Pelan integrasi menggariskan kaedah, strategi dan jadual pelaksanaan  integrasi yang perlu dipatuhi.

Objektif

  • Menghasilkan Pelan Integrasi berfungsi sebagai rujukan yang menetapkan kaedah dan strategi yang akan digunakan serta jangkamasa yang diperlukan semasa pelaksanaan integrasi.

Langkah-Langkah

Langkah 1 : Analisis Keperluan

Analisis Keperluan Integrasi perlu dilaksana untuk tujuan penyediaan Pelan Integrasi. Kajian dan perbincangan perlu melibatkan antara pemilik proses, pemilik sistem dan pasukan pembangun integrasi. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk tujuan penyediaan Pelan Integrasi:

Langkah 2 : Sediakan Pelan Integrasi

Pelan Integrasi dihasilkan selepas analisa keperluan selesai dijalankan dan mengandungi sekurang-kurangnya perkara seperti berikut:

Pelaksanaan integrasi akan dilaksanakan berdasarkan pelan yang dihasilkan. Rujuk format D07 Pelan Integrasi Sistem.

Langkah 3 : Sahkan Pelan Integrasi

Pelan Integrasi yang didokumenkan perlu dibentang dan mendapat pengesahan kesemua pemilik sistem yang terlibat dengan integrasi bagi memastikan aktiviti integrasi mendapat sokongan dan kerjasama.

 

4.12.2 Reka bentuk Integrasi Sistem [F3.10]

Keterangan

Integrasi sistem dilaksanakan bagi membolehkan sistem-sistem aplikasi yang berasingan bertukar maklumat secara automatik dan seamless. Ini kerana terdapat pelaksanaan proses bisnes yang memerlukan fungsi-fungsi daripada sistem aplikasi berlainan berinteraksi  antara satu sama lain.

Service Orientation Architecture (SOA) merupakan kaedah integrasi yang menggunakan servis untuk berinteraksi antara sistem aplikasi. Servis merupakan logik fungsian yang dibangunkan mewakili proses bisnes. Ia boleh dikemaskini tanpa mengganggu servis lain dan ini menggalakkan pengintegrasian dilaksanakan secara loosely coupled. Selain itu, servis yang dibangunkan tidak terikat dengan platform, bahasa pengaturcaraan, sistem pengoperasian dan persekitaran sistem aplikasi. Ini kerana ia berkomunikasi menggunakan format data yang sama.

Objektif

  • Menghasilkan spesifikasi integrasi bagi pelaksanaan keperluan proses bisnes yang merentasi fungsi bisnes agensi atau unit bisnes dalam agensi.

Langkah-Langkah

Langkah 1 : Kenal Pasti Keperluan Integrasi

Kenal pasti kebergantungan sistem yang sedang dibangunkan dengan sistem-sistem lain. Maklumat tersebut boleh diperolehi daripada hasil kajian keperluan sistem yang terdapat D03 Spesifikasi Keperluan Sistem . Pemodelan Use Case dan Rajah Konteks DFD turut digunakan dalam dokumen tersebut untuk menggambarkan skop interaksi sistem dengan pengguna atau sistem luaran secara menyeluruh.

Contoh Kajian Kes:

Rajah Konteks Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat, DFD-BM menggambarkan secara keseluruhan hubungan sistem dengan entiti luaran. Berdasarkan Rajah Konteks tersebut, Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat berintegrasi dengan Sistem Sumber Manusia dan Sistem Senggara Aset. Maka langkah seterusnya akan tertumpu kepada proses yang berlaku dan maklumat yang dikongsi antara sistem tersebut.

 

Langkah 2 : Kenalpasti Servis Integrasi Yang Diperlukan

  1. Senaraikan keperluan integrasi yang diperlukan. Nyatakan secara ringkas keperluan integrasi tersebut. Maklumat terperinci berkaitan servis tersebut boleh diperolehi daripada pemodelan Use Case dan Data Flow Diagram (DFD) dalam D03 Spesifikasi Keperluan Sistem serta perincian Rajah Aliran Proses Bisnes (PFD) dalam D02 Spesifikasi Keperluan Bisnes.
  2. Maklumat yang perlu ada bagi keperluan servis integrasi adalah seperti di Apendiks 9 a) Maklumat Servis Integrasi. Jadual dibawah menunjukkan keterangan templat maklumat servis integrasi.

 

 Contoh Kajian Kes:

Penguraian DFD-BM-MA menunjukkan bahawa integrasi berlaku semasa menguruskan aduan kerosakan. Perincian aktiviti berkaitan integrasi tersebut boleh diperolehi daripada  Definisi Fungsi Bisnes pada Pemodelan Proses Bisnes (PFD), PFD-BM-MA dan Rajah Use Case UC-BM-MA. Senaraikan maklumat yang diperlukan seperti jadual berikut:

Jadual 58 : Contoh Maklumat Aktiviti yang Memerlukan Integrasi

Berdasarkan jadual di atas, terdapat dua servis integrasi yang perlu dibangunkan iaitu:

  1. Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat akan menghantar maklumat aduan bagi bagi kerosakan bilik mesyuarat.
  2. Sistem Senggara Aset akan menghantar maklumat aduan kerosakan yang telah selesai.

 

Langkah 3 : Muktamadkan Format Pertukaran Data (Data Exchange Format)

a) Berdasarkan senarai integrasi yang telah dikenalpasti, berikan nama servis untuk setiap integrasi tersebut dan pendekatan kaedah integrasi yang digunakan. Terangkan format pertukaran data yang akan digunakan. Rujuk Apendiks 9 b) Format Pertukaran Data. Keterangan bagi templat Format Pertukaran Data adalah seperti jadual di bawah.

Jadual 59 : Keterangan Templat Format Pertukaran Data

Contoh Kajian Kes:

Berdasarkan contoh kajian kes, jadual dibawah menunjukkan keterangan servis integrasi dan data yang terlibat dalam integrasi tersebut.

Jadual 60 : Contoh Penerangan Servis Integrasi dan Data yang Terlibat

Jadual di atas menerangkan servis integrasi yang akan dibangunkan untuk membolehkan Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat menghantar maklumat aduan kerosakan bilik mesyuarat ke sistem luar (Sistem Senggara Aset).

Langkah 4 : Sediakan Pemetaan Data (Data Mapping)

a) Kenalpasti struktur data yang diperlukan oleh sistem dan struktur data yang dihantar oleh sistem sumber. Petakan struktur data tersebut. Apendiks 9 c) Pemetaan Struktur Data. Keterangan bagi templat pemetaan struktur data adalah seperti di jadual dibawah.

Jadual 61 : Keterangan Templat Pemetaan Struktur Data

Contoh Kajian Kes:

Berdasarkan contoh kajian kes, jadual dibawah menunjukkan contoh pemetaan struktur data yang terlibat.

Jadual 62 : Contoh Pemetaan Struktur Data

Jadual 62 menunjukkan pemetaan data aduan kerosakan bilik mesyuarat antara Sistem Senggara Aset dengan Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat. Ini untuk memastikan data yang diterima daripada Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat memenuhi keperluan Sistem Senggara Aset.

Langkah 5 : Sediakan Peraturan Integrasi Sistem

Kenalpasti aliran proses yang terlibat semasa pertukaran data berlaku. Nyatakan peraturan yang dilaksanakan semasa pertukaran data tersebut seperti logik integrasi dan transformasi data. Terdapat 2 jenis proses integrasi iaitu:

a) Proses Khusus (Specialized Processes)

Proses Khusus merupakan pengintegrasian untuk melaksanakan proses yang khusus untuk sistem tertentu. Ini bermakna hanya ada satu output sahaja yang dihasilkan oleh proses tersebut untuk diproses oleh sistem tertentu.

Rajah 75 : Proses Khusus

Berdasarkan rajah di atas, Sistem A akan memulakan Proses X yang terdapat pada server integrasi. Output yang dihasilkan oleh Proses X akan dihantar kepada Sistem B untuk diproses. Proses X ini diwujudkan untuk menyokong Sistem B agar sistem lain boleh melaksanakan prosedur tersebut tanpa perlu mengetahui senarai proses yang perlu dilakukan.

b) Proses Berbilang Langkah (Multistep Process)

Proses Berbilang Langkah melibatkan pengintegrasian lebih dari satu sistem untuk melaksanakan proses tertentu. Aliran proses yang diwujudkan dalam server integrasi akan mengendalikan interaksi antara sistem tersebut. Semua transaksi antara proses dan sistem tersebut perlu mematuhi kekangan transaksi atomic. Ini bermakna sekiranya salah satu transaksi gagal, maka proses tersebut akan gagal. Maka semua perubahan yang telah berlaku kepada data perlu kembali kepada asal seolah-olah proses tersebut tidak berlaku. Mekanisma pengurusan pengecualian (exception handling mechanism) perlu diwujudkan untuk melaksanakan pembalikan (rollback) tersebut.

Rajah 76 : Proses Berbilang Langkah

Rajah di atas menunjukkan Sistem A perlu berintegrasi dengan Sistem B dan Sistem C untuk melaksanakan Proses X. Mesej permintaan digunakan untuk meminta menggunakan servis atau data yang dikongsi oleh sistem lain manakala mesej maklumbalas ialah hasil proses servis atau data yang diminta oleh mesej permintaan tersebut.

Contoh Senario Proses Integrasi:

Rajah 77 : Contoh Senario Proses Integrasi

Berdasarkan proses di atas, Sistem Maklumat Rekod Pekerja (HRMIS) akan menghantar maklumat pekerja kepada proses integrasi untuk memeriksa rekod jenayah daripada Sistem Maklumat Kehakiman (DOJ), rekod pendidikan daripada Sistem Maklumat Pendidikan (SSMS), rekod kesihatan daripada Sistem Maklumat Kesihatan (Telehealth) dan rekod peribadi daripada Sistem Maklumat Pendaftaran (JPN). Jika semua rekod memenuhi kriteria, proses pengemaskinian akan dilakukan kepada sistem Telehealth dan HRMIS. Jika berlaku kegagalan semasa transaksi, mekanisma pengurusan pengecualian (exception handling mechanism) akan memainkan peranan untuk  melaksanakan pembalikan (rollback) proses tersebut. Segala perubahan yang telah berlaku kepada sistem yang terlibat akan dibatalkan dan proses tersebut perlu diulang semula. 

Contoh Kajian Kes:

Sistem Senggara Aset (SSA) akan memohon maklumat aduan kerosakan daripada Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat (SPTBM). Sistem Pengurusan Tempahan Bilik Mesyuarat akan mendapatkan maklumat aduan kerosakan baru dan menghantar maklumat tersebut bersama tarikh_hantar_data yang telah dikemaskini. Sistem Senggara Aset akan menerima maklumat tersebut dan menyimpannya untuk tindakan seterusnya.

Langkah 6 : Sediakan Reka Bentuk Arkitektur Integrasi

Reka bentuk arkitektur integrasi adalah bergantung kepada cara dan peraturan integrasi tersebut dilakukan. Penerangan di bawah menunjukkan kaedah integrasi menggunakan SOAP, RESTful dan messaging.

a) Arkitektur SOAP

SOAP bermaksud Simple Object Access Protocol. Terdapat tiga peranan utama dalam arkitektur web service:

  1. Pembekal (Provider) - mewujudkan servis dan menjadikannya tersedia untuk sistem aplikasi yang ingin menggunakannya.
  2. Pemohon (Requestor) - menggunakan servis sedia ada dengan menghantar permintaan kepada pembekal servis.
  3. Pendaftar (Registry) – menyimpan maklumat servis yang disediakan oleh pembekal servis.

 

Pembekal servis akan memaklumkan kepada pendaftar tentang servis yang disediakan dan cara menggunakannya. Pemohon akan mencari servis yang dikehendaki dalam pendaftar. Setelah mendapat maklumat mengenai servis yang diperlukan, pemohon akan menghantar permintaan kepada pembekal servis tersebut. Pembekal akan memberi maklumbalas berdasarkan jenis permintaan tersebut.

b) Arkitektur RESTful

REST bermaksud REpresentational State Transfer. Ia mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Setiap sumber seperti maklumat boleh diakses melalui URL.
  2. Kata arahan GET, POST, PUT atau DELETE akan digunakan semasa mengakses sumber tersebut.

 

Arkitektur RESTful berkonsepkan client-server. Permintaan akan dilakukan oleh klien/pemohon dengan cara menghantar URL sumber yang diperlukan dan kata arahan. Pelayan/pembekal servis akan memberi maklumbalas berdasarkan URL dan kata arahan permintaan tersebut.

c) Arkitektur Messaging

Penghantaran Mesej (Messaging) membolehkan setiap sistem aplikasi berkomunikasi menggunakan mesej melalui saluran mesej (message channel) yang sama. Mesej yang dihantar oleh sistem aplikasi akan diuruskan oleh sistem penghantaran mesej (messaging system). Perkongsian data dan arahan adalah menggunakan mesej.

Setiap sistem aplikasi akan dipasang dengan messaging client untuk membolehkannya menghantar dan menerima mesej. Messaging server bertindak sebagai orang tengah yang menguruskan penghantaran mesej.

Rajah 82 : Arkitektur Messaging untuk Pengintegrasian Berbilang Server

Arkitekur messaging memudahkan pengintegrasian yang melibatkan proses berbilang langkah (multistep step) kerana ia menyokong pengintegrasian berbilang sistem. Proses integrasi tersebut akan dibangunkan dalam messaging server

 

Langkah 7 : Dokumenkan Spesifikasi Integrasi sistem 

Kompilkan hasil langkah-langkah yang telah dilaksanakan ke dalam dokumen D08 Spesifikasi Integrasi Sistem. 

 

Langkah 8 : Dapatkan Pengesahan Pengguna

Spesifikasi Integrasi Sistem yang didokumenkan perlu dibentang dan mendapat pengesahan pemilik sistem bagi memastikan kesahihan dan spesifikasi yang dihasilkan memenuhi keperluan integrasi sistem.

 

Rujukan

  1. Katalog Servis Pasukan Perunding ICT Sektor Awam (2013).
  2. Dokumen SRDS Projek Perkongsian Maklumat Perkhidmatan Perguruan – Edu-XChange (2011).
  3. Gregor Hohpe & Bobby Woolf (2003). Enterprise Integration Patterns. Addison-Wesley. ISBN: 0321200683.
  4. MSC CFI Architecture – System Integration Architecture Version 3.0 (2004).
  5. Dokumen uCustoms Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Integration Specification Issue 1.0 (2015).