8.5 Pengiraan Saiz Fungsian Sistem Aplikasi di Fasa Pelaksanaan

Berbeza dengan pengiraan di dalam fasa-fasa sebelumnya, pengiraan saiz sistem aplikasi di Fasa Pelaksanaan akan merujuk kepada model-model yang dibangunkan di dalam fasa ini, iaitu Model Maklumat Logikal – Reka bentuk Pangkalan Data [F3.4], Spesifikasi Integrasi sistem – Reka bentuk Integrasi Sistem [F3.10], skrin-skrin antaramuka pengguna dan Jadual Pemetaan Data - Pemodelan Antaramuka Pengguna [F3.5]. Langkah-langkah pengiraan saiz sistem aplikasi di Fasa Pelaksanaan adalah seperti berikut:  

 

a) Tentukan Kompleksiti Berdasarkan Fungsi Data

  i) Rujuk dan patuhi peraturan penentuan komponen fungsi

Penentuan dan pengiraan komponen fungsi ILF, EIF, RET dan DET bagi Fungsi Data perlulah mematuhi kepada peraturan-peraturan hubungan di antara entiti-entiti atau adual-jadual pangkalan data seperti yang disenaraikan di dalam Jadual Peraturan Penentuan Komponen Fungsi Bagi Fungsi Data.

 

ii) Tentukan bilangan ILF/EIF

Penentuan bilangan ILF/EIF adalah berdasarkan kepada bilangan jadual yang telah disediakan di dalam Model Maklumat Logikal dan juga senarai data di dalam Spesifikasi Integrasi Sistem. Penentuan bilangan ILF dan EIF adalah bergantung kepada hubungan modaliti dan kardinaliti di antara satu entiti dengan entiti yang lain. Berikut adalah kaedah-kaedah bagi menentu dan mengirakan bilangan ILF/EIF di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Rujuk kepada Model Maklumat Logikal untuk menentukan entiti-entiti yang terdiri dari komponen fungsi ILF, dan Spesifikasi Integrasi Sistem untuk menentukan komponen fungsi EIF.
  • Kenalpasti hubungan di antara jadual-jadual yang terlibat sama ada ia bersifat dependent atau independent dengan merujuk kepada Model Maklumat Logikal dan Spesifikasi Integrasi Sistem yang telah disediakan.
  • Tentu dan kirakan bilangan ILF/EIF berpandukan kepada peraturan-peraturan yang disenaraikan di dalam Jadual Peraturan Penentuan Komponen Fungsi Bagi Fungsi Data.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan ILF/EIF bagi jadual yang sama tidak boleh dilakukan secara berulang kali.

 

  iii) Tentukan bilangan RET

Penentuan bilangan RET adalah berdasarkan kepada bilangan jadual yang berhubung kait di dalam satu-satu ILF/EIF. Berikut adalah kaedah-kaedah bagi menentu dan mengirakan bilangan RET di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Berikutan dari penentuan bilangan ILF/EIF dan hubungan di antara jadual pada langkah yang sebelum, kirakan bilangan jadual yang berhubung kait dengan satu-satu jadual yang lain dengan merujuk kepada Model Maklumat Logikal dan Spesifikasi Integrasi Sistem yang telah disediakan.
  • Berdasarkan kepada Jadual Peraturan Penentuan Komponen Fungsi Bagi Fungsi Data, kirakan bilangan RET secara bersekali bagi jadual-jadual yang mempunyai hubungan yang bersifat dependent di antara satu sama lain. Sekiranya jadual-jadual tersebut mempunyai hubungan bersifat independent, kirakan bilangan RET secara berasingan bagi setiap ILF/EIF yang telah dikenalpasti.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan RET bagi jadual yang sama tidak boleh dilakukan berulang kali walaupun jadual tersebut berhubung kait di bawah ILF/EIF yang berbeza.

 

  iv) Tentukan bilangan DET

Penentuan bilangan DET bagi Fungsi Data adalah berdasarkan kepada bilangan atribut di bawah satu-satu ILF/EIF dengan merujuk kepada jadual pangkalan data yang telah dikenalpasti di dalam Model Maklumat Logikal dan Spesifikasi Integrasi Sistem. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan DET di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Senaraikan dan kira bilangan atribut yang terkandung di bawah satu-satu jadual. Setiap data yang telah dikenalpasti mempunyai nilai DET sebanyak 1 sahaja.
  • Sama seperti di dalam penentuan di dalam fasa-fasa sebelum, atribut yang disetkan sebagai kunci primer (primary key) bagi setiap jadual tidak akan ditentukan sebagai DET sekiranya atribut tersebut hanya merupakan artifak teknikal di mana ia tidak memberi makna kepada bisnes dan bukan terdiri dari maklumat yang boleh difahami oleh pengguna (non user-recognizable). Sekiranya atribut kunci primer tersebut digunakan sebagai kunci sekunder di dalam entiti yang lain, atribut kunci sekunder tersebut akan dianggap sebagai DET.
  • Pengiraan bilangan DET juga bergantung kepada hubungan di antara jadual-jadual. Merujuk kepada Jadual 104 : Peraturan Penentuan Komponen Fungsi Bagi Fungsi Data, bilangan DET akan digabungkan bersekali bagi jadual-jadual yang berbeza sekiranya hubungan di antaranya adalah dependent di antara satu sama lain. Manakala pula, bilangan DET perlu dikira secara berasingan sekiranya hubungan di antara jadual-jadual yang berbeza adalah bersifat independent.
  • Penentuan dan pengiraan bilangan DET bagi atribut yang sama tidak boleh dilakukan berulang kali melainkan atribut yang sama ditempatkan juga di dalam jadual yang berbeza.

 

  v) Tentukan kompleksiti setiap ILF / EIF

Berdasarkan maklumat EIF/ILF, FTR dan DET, rujuk kepada Jadual Matriks Kompleksiti bagi Fungsi Data seperti di 8.2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk menentukan tahap kompleksiti setiap entiti yang telah dikenalpasti.

 

vi) Lengkapkan Jadual Penentuan Tahap Kompleksiti Fungsi Data

Gunakan jadual di bawah untuk merekodkan nama jadual, atribut yang terlibat, bilangan ILF/EIF, FTR, DET serta kompleksitinya yang telah dikenalpasti di dalam langkah-langkah yang sebelum.

 

b) Tentukan Kompleksiti Berdasarkan Fungsi Transaksi 

  i) Kenalpasti bilangan EI, EO dan EQ

Penentuan bilangan komponen fungsi EI, EO dan EQ berdasarkan kepada skrin antaramuka pengguna dan Jadual Pemetaan Data yang menghubungkan di antara pengguna dengan sistem aplikasi yang dibangunkan. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan EI, EO dan EQ di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Bagi setiap skrin antaramuka pengguna yang telah dibangunkan, tentukan sama ada skrin-skrin tersebut mengandungi komponen-komponen fungsi EI, EO atau/dan EQ.
  • Rujuk juga kepada ruangan CRUD di dalam Jadual Pemetaan Data bagi membantu dalam menentukan komponen-komponen fungsi yang terlibat.
  • Setiap skrin antaramuka pengguna boleh mengandungi lebih dari satu jenis komponen fungsi sama ada kombinasi di antara EI dengan EO ataupun EQ.
  • Jenis komponen fungsi yang sama tidak boleh bertindih dan dikira berulang kali di bawah satu-satu skrin antaramuka.
  • Skrin-skrin antaramuka pengguna tambahan, seperti skrin popup, kotak mesej (message box) dan notifikasi, tidak perlu diambil kira sebagai komponen fungsi EI, EO atau/dan EQ, di mana skrin-skrin tambahan tersebut akan hanya diletakkan di bawah komponen fungsi DET sahaja. 

 

ii) Tentukan bilangan FTR

Penentuan bilangan FTR adalah berpandukan kepada bilangan dan hubungan di antara jadual-jadual pangkalan data yang terlibat di bawah setiap komponen fungsi EI, EO dan EQ seperti yang telah dikenalpasti pada langkah yang sebelumnya. Rujuk kepada senarai ILF/EIF yang telah ditentukan di dalam Fungsi Data serta Jadual Pemetaan Data untuk menentukan bilangan jadual pangkalan data yang terlibat serta hubungannya di antara satu sama lain. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan FTR di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Berdasarkan kepada senarai ILF/EIF serta Jadual Pemetaan Data, kenalpasti bilangan dan hubungan di antara jadual pangkalan data yang berinteraksi dengan fungsi bisnes di bawah satu-satu komponen fungsi EI, EO atau EQ.
  • Jumlah bilangan komponen fungsi ILF/EIF yang terlibat dengan skrin antaramuka pengguna berkenaan adalah merupakan bilangan FTR yang akan diperolehi.

 

iii) Tentukan bilangan DET

Penentuan bilangan DET bagi Fungsi Transaksi adalah bergantung kepada bilangan atribut yang terlibat di dalam setiap komponen fungsi EI, EO atau EQ bagi satu-satu skrin antaramuka pengguna. Dalam masa yang sama juga, rujuk kepada Jadual Pementaan Data untuk mengenalpasti atribut yang diperlukan pada skrin terlibat. Berikut adalah kaedah-kaedah untuk menentu dan mengirakan bilangan FTR di dalam Fasa Pelaksanaan:

  • Bagi komponen fungsi EI, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data yang dimasukkan, dikemaskini atau/dan dihapuskan.
  • Bagi komponen fungsi EO, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data data yang dipaparkan melalui pengiraan atau logik pengaturcaraan.
  • Bagi komponen fungsi EQ, kirakan bilangan DET yang hanya melibatkan data-data yang dipaparkan secara terus tanpa melalui pengiraan atau logik pengaturcaraan.
  • Berbeza dengan pengiraan bilangan DET di dalam Fungsi Data, penentuan dan pengiraan bilangan DET bagi Fungsi Transaksi boleh dilakukan berulang kali bagi atribut yang sama kecuali atribut yang berada di bawah komponen fungsi dan skrin antarmuka yang sama.

 

  iv) Tentukan kompleksiti setiap EI. EO dan EQ

Berdasarkan kepada bilangan EI, EO, EQ, FTR dan DET yang telah ditentukan, rujuk kepada Jadual Matriks Kompleksiti bagi Fungsi Transaksi seperti di 8.2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk menentukan tahap kompleksiti setiap komponen fungsi yang telah dikenalpasti.

 

v) Lengkapkan Jadual Penentuan Tahap Kompleksiti Fungsi Data

Gunakan jadual di bawah untuk merekodkan nama aktiviti, kumpulan maklumat dan data yang terlibat, bilangan EI, EO, EQ, RET, DET serta kompleksitinya yang telah dikenalpasti di dalam langkah-langkah yang sebelum.

 

c) Kirakan Value Adjustment Function (VAF) 

Semak dan kemaskini kadar pengaruh bagi empat belas (14) GSC yang telah diperoleh di dalam pengiraan pada fasa-fasa sebelumnya. Pengemaskinian kadar pengaruh dilakukan berdasarkan kepada maklumat dan informasi projek terkini yang telah diperolehi. Kaedah-kaedah pengiran VAF adalah sama seperti yang telah dijelaskan di dalam fasa-fasa sebelumnya, iaitu:  

  i) Tentukan kadar pengaruh bagi empat belas (14) Ciri-Ciri Am Sistem (GSC) seperti yang disenarai dan diperjelaskan di dalam 8.2.1.3 Empat Belas Ciri-ciri Am Sistem (GSC). Tambahkan skor-skor yang telah diberikan kepada ciri-ciri am berkenaan untuk mendapatkan nilai ΣCi. 

  ii) Dengan berpandukan kepada formula pengiraan seperti yang diterangkan di dalam 8.2.2 Pengiraan Value Adjustment Factor, masukkan nilai ΣCi yang telah diperolehi ke dalam formula di bawah untuk mendapatkan nilai VAF. 

VAF = 0.65 + [(ΣCi) / 100]                                              

 

d) Kirakan Unadjusted Function Points (UFP) 

  i) Berdasarkan maklumat kompleksiti yang telah diperolehi melalui penentuan berdasarkan Fungsi Transaksi dan Fungsi Data, rujuk kepada Jadual Penterjemahan Saiz seperti di 2.1.2 Jadual Matriks Kompleksiti dan Jadual Penterjemahan untuk mendapatkan nilai Function Points (FP) bagi setiap komponen fungsi yang telah dikenal pasti.  

  ii) Gunakan jadual serta formula pengiraan seperti di dalam 8.2.3 Pengiraan Unadjusted Function Points untuk mendapatkan nilai UFP. 

 

e) Kirakan Adjusted Function Points (AFP)

Berpandukan kepada nilai VAF dan UFP, gunakan formula pengiraan seperti di 8.2.4 Pengiraan Adjusted Function Points (AFP) untuk mendapatkan nilai AFP.                          

 

d) Kirakan Anggaran Effort, Masa dan Kos Pembangunan 

Berikutan daripada nilai AFP yang telah diperolehi, nilai tersebut akan digunakan untuk melakukan pengiraan anggaran effort, masa dan kos pembangunan keseluruhan sistem aplikasi ataupun fungsi-fungsi di dalamnya. Rujuk 8.2.5 Pengiraan Anggaran Effort dan Kos Pembangunan Sistem untuk mendapatkan keterangan lanjut berkenaan dengan formula-formula pengiraan effort, masa dan kos.

 

Rujukan

  1. David Garmus, Janet Russac & Royce Edwards (2011). Certified Function Point Specialist Examination Guide.
  2. ISO/IEC 20926 Systems and software engineering - Software measurement - IFPUG functional size measurement method (2009).
  3. Adri Timp (2010). IFPUG Function Point Counting Practices Manual Release 4.3