7.3 Penglibatan Pemegang taruh

Pemegang taruh memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek ICT di sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, pengurusan projek ICT perlu melibatkan pelbagai pihak bagi mewujudkan suatu pengurusan projek yang mampan. Secara spesifiknya,  pemegang taruh adalah orang-orang perseorangan dan organisasi yang terlibat secara aktif dalam projek atau pihak yang mempunyai kepentingan yang terlibat secara positif atau negatif dan boleh memberi kesan kepada pelaksanaan projek atau penyiapan projek dengan jayanya. Keberkesanan penglibatan pemegang taruh adalah salah satu penentu utama kepada kejayaan penyiapan projek ICT di sektor awam. Ini adalah kerana penglibatan pemegang taruh yang berkesan akan mempengaruhi prestasi dari aspek pengurusan kos, masa,kualiti, skop dan risiko projek ICT.

Lazimnya, pemegang taruh yang akan terlibat di dalam pelaksanaan projek ICT adalah:

  1. Pengurus projek - individu yang bertanggungjawab menguruskan projek.
  2. Pelanggan - orang perseorangan atau organisasi yang akan menggunakan produk projek.
  3. Organisasi Pelaksana - pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan kerja-kerja untuk projek
  4. Pembiaya - orang perseorangan atau kumpulan dalam organisasi pelaksana yang menyediakan sumber-sumber kewangan, samada dalam bentuk tunai atau barangan untuk projek.