4.10 Penyediaan Spesifikasi Reka bentuk Sistem [F3.6]

Keterangan

Spesifikasi Reka bentuk Sistem (SDS) adalah penerangan terperinci berkenaan reka bentuk-reka bentuk arkitektur, fungsi sistem, pangkalan data, migrasi data dan integrasi sistem bagi sistem aplikasi yang akan dibangunkan. Dokumen SDS merupakan dokumen yang disediakan sebagai panduan utama kepada pasukan pengaturcara kepada senibina dan reka bentuk satu-satu sistem aplikasi.

Objektif

  • Menyediakan Reka bentuk Arkitektur Keseluruhan Sistem Aplikasi, Arkitetur Aplikasi dan Arkitektur Pangkalan Data berdasarkan kepada langkah-langkah yang terkandung di dalam Reka bentuk Arkitektur [F3.1].
  • Mengemaskini Model Fungsi Sistem yang telah dibangunkan di dalam Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2] supaya selaras dengan keperluan reka bentuk sistem.
  • Menyediakan Reka bentuk Transaksi Sistem, Reka bentuk Antaramuka Pengguna dan Pemetaan Data seperti yang dinyatakan dalam langkah-langkah di bawah Reka bentuk Transaksi Sistem [F3.5] dan Reka bentuk Antaramuka Sistem [F3.5].
  • Menyediakan Reka bentuk serta Skema Pangkalan Data Logikal dengan merujuk kepada langkah-langkah di bawah Reka bentuk Pangkalan Data [F3.3].
  • Menyertakan keterangan ringkas berkenaan Reka bentuk Migrasi Data dan Reka bentuk Integrasi Sistem.

Langkah-langkah

Langkah 1 : Sediakan Pengenalan Kepada Reka bentuk Sistem

Sila sedia dan lengkapkan pengenalan bisnes bagi perkara-perkara berikut:

a) Tujuan Reka bentuk

Terangkan tujuan, objektif dan matlamat yang ingin dicapai di dalam reka bentuk sistem aplikasi selaras dengan objektif bisnes dan keperluan sistem yang ingin dipenuhi.

 b) Skop Reka bentuk

Nyatakan skop reka bentuk sistem aplikasi berdasarkan skop keperluan bisnes dan keperluan sistem yang telah diperolehi di dalam dokumen BRS dan SRS. Skop reka bentuk merupakan penentuan sempadan kepada reka bentuk fungsi sistem dan pangkalan data yang disediakan. Sempadan reka bentuk ini boleh ditentukan dengan merujuk kepada bilangan modul, menu dan submenu yang akan dirangkumkan di dalam sistem aplikasi.

Langkah 2 : Sediakan Reka bentuk Arkitektur Sistem Aplikasi

Reka bentuk Arkitektur

a) Arkitektur Keseluruhan Sistem Aplikasi

Sediakan Arkitektur Keseluruhan Sistem Aplikasi yang merupakan gambaran menyeluruh (bird's eye view) bagi komponen-komponen antaramuka sistem, aplikasi dan pangkalan data. Sila rujuk kepada langkah 4 di dalam Reka bentuk Arkitektur [F3.1] untuk menyediakan arkitektur berkenaan.

b) Arkitektur Aplikasi

Sediakan Arkitektur Aplikasi yang merupakan gambaran komponen-komponen aplikasi terperinci yang terkandung di dalam Arkitektur Keseluruhan Sistem Aplikasi. Sila rujuk kepada langkah 5 di dalam Reka bentuk Arkitektur [F3.1] untuk menyediakan arkitektur berkenaan.

c) Arkitektur Pangkalan Data

Sediakan Arkitektur Pangkalan Data yang merupakan gambaran komponen-komponen pangkalan data terperinci yang terkandung di dalam Arkitektur Keseluruhan Sistem Aplikasi. Sila rujuk kepada langkah 6 di dalam Reka bentuk Arkitektur [F3.1] untuk menyediakan arkitektur berkenaan.

 

Langkah 3 : Kemaskini Model Fungsi Sistem

a) Penggunaan Notasi

Senaraikan notasi-notasi yang akan digunakan untuk menyediakan Model Fungsi Sistem. Rujuk kepada Pemodelan Fungsi Sistem [F2.2] untuk menyediakan senarai notasi berkenaan.

b) Rajah Hierarki Fungsian Sistem

Rajah Hierarki Fungsian Sistem yang telah disediakan di dalam Pemodelan Fungsi Bisnes [F2.2] dan dipaparkan di dalam dokumen D03 Spesifikasi Keperluan Sistem perlu dikemaskini dan dibangunkan semula sekiranya terdapat perubahan dari segi struktur Fungsi Sistem dalam fasa reka bentuk ini. Namun begitu sekiranya tiada sebarang perubahan kepada struktur berkenaan, Rajah Hierarki Fungsian Sistem yang sama boleh diguna dan direkodkan di dalam dokumen SDS. 

c) Jadual Pemadanan Aktor Dengan Fungsi Sistem

Kemaskini Jadual Pemadanan Aktor dengan Fungsi Sistem yang telah dibangunkan dalam Pemodelan Fungsi Bisnes [F2.2] sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada struktur Fungsi Sistem. Sekiranya tiada sebarang perubahan, paparkan sahaja jadual yang sama yang telah dibangunkan dalam fasa sebelum ini. Jadual pemadanan ini akan digunakan sebagai sumber rujukan bagi kawalan akses pengguna dengan sistem aplikasi yang akan dibangunkan.

 

Langkah 4 : Dokumenkan Reka bentuk Fungsian

a) Reka bentuk Antaramuka Pengguna dan Pemetaan Data

Sertakan imej-imej Reka bentuk Antaramuka Pengguna bagi setiap skrin di bawah fungsi, modul, menu dan submenu aplikasi. Reka bentuk Antaramuka Pengguna yang telah disediakan kemudiannya akan dipadankan dengan entiti (jadual) dan atribut yang terkandung di dalam pangkalan data. Sila rujuk kepada langkah-langkah di bawah Reka bentuk Antaramuka [F3.4] bagi penyediaan reka bentuk tersebut dan pemetaan kepada data-data yang terlibat.

b) Reka bentuk Transaksi Sistem

Sertakan Reka bentuk Transaksi Sistem yang terdiri dari jadual-jadual Senario Use Case. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Reka bentuk Transaksi Sistem [F3.5] bagi penyediaan reka bentuk berkenaan.

 

Langkah 5 : Dokumenkan Reka bentuk Pangkalan Data

a) Reka bentuk Pangkalan Data

Sertakan Reka bentuk Pangkalan Data Logikal yang merupakan perincian lanjut kepada Rajah Hubungan Entiti (ERD) yang telah disediakan di dalam dokumen SRS. Sila rujuk kepada langkah-langkah di dalam Reka bentuk Pangkalan Data [F3.3] bagi penyediaan reka bentuk berkenaan.

b) Skema Logikal Pangkalan Data

Sertakan juga Skema Pangkalan Data Logikal berdasarkan kepada langkah-langkah yang telah dinyatakan di dalam Reka bentuk Pangkalan Data [F3.3].

 

Langkah 6 : Nyatakan Secara Ringkas Reka bentuk Migrasi Dan Integrasi Sistem

a) Reka bentuk Migrasi Data

Sediakan keterangan ringkas berkenaan Reka bentuk Migrasi Data dan nyatakan juga rujukan kepada dokumen dokumen [D05] Pelan Migrasi Data dan  [D06] Spesifikasi Migrasi Data bagi penerangan lanjut kepada reka bentuk berkenaan.

b) Reka bentuk Integrasi Sistem

Sediakan keterangan ringkas berkenaan Reka bentuk Integrasi Sistemdan nyatakan juga rujukan kepada dokumen [D06] Pelan Integrasi sistem dan [D07] Spesifikasi Integrasi Sistem bagi penerangan lanjut kepada reka bentuk berkenaan.

 

Langkah 7 : Sertakan Dokumen-dokumen Sokongan Sebagai Lampiran

Sertakan dokumen-dokumen sokongan, sekiranya ada, yang perlu dirujuk sebagai penerangan lanjut kepada reka bentuk-reka bentuk yang disertakan di dalam dokumen SDS.

 

Langkah 8 : Lakukan Semakan Dan Pengesahan Ke Atas Dokumen SDS

Dokumen SDS perlu dilakukan semakan oleh Ketua Pasukan Analisis dan Reka bentuk, atau pegawai-pegawai yang lain yang bersesuaian. Setelah semakan dilakukan, dokumen SDS yang telah disediakan perlu disahkan oleh Pengurus Projek atau Pengarah Bahagian atau pegawai-pegawai yang lain yang bersesuaian. 

 

Rujukan

  1. ISO/IEC/IEEE 29148-2011 Systems and software engineering - Life cycle processes - Requirements engineering (2011).
  2. IEEE Std 830-1998 - IEEE Recommended Practice for Software Requirements Specifications (1998).
  3. IEEE 1233-1998 - IEEE Guide for Developing System Requirements Specifications (1998).
  4. IEEE Std 1016-2009 : IEEE Standard for Information Technology - Systems Design -Software Design Descriptions (2009).