7.4 Faktor Kejayaan

Dalam memastikan sesebuah projek ICT dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang telah ditetapkan, sesebuah organisasi hendaklah mempertimbangkan beberapa faktor kejayaan kritikal. Antaranya ialah:

 

a) Komitmen Daripada Pihak Pengurusan Atasan

         Komitmen daripada pihak pengurusan atasan merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan ia dapat dibangunkan dan dilaksanakan dengan jaya di sesebuah organisasi. Pengurusan atasan hendaklah mengambil maklum tentang perjalanan projek dari peringkat awal sehinggalah projek tamat.  Status kemajuan projek hendaklah dimaklumkan kepada pihak pengurusan tertinggi melalui mesyuarat yang dibentuk mengikut struktur tadbir urus yang telah dipersetujui.

 

b) Komitmen Daripada Pihak Pengguna (Subject Matter Expert)

         Komitmen daripada pihak pengguna juga turut menjadi penyumbang kepada kejayaan pembangunan dan pelaksanaan projek ICT. Input dan maklum balas daripada pengguna adalah amatlah penting kerana tanpa input yang mencukupi sistem tidak akan dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan. Oleh itu, komitmen dan kerjasama daripada pengguna amat diperlukan agar aliran proses sistem dapat berjalan dengan lancar. Kerjasama ini akan dapat dijalankan melalui sesi mesyuarat dan perbincangan di antara pengguna dan pegawai IT/pembangun sistem bagi memastikan setiap keperluan daripada pengguna akan ditransformasikan kepada sistem.

 

c) Keperluan dan Spesifikasi Yang Jelas

         Mengenalpasti keperluan dan spesifikasi dengan jelas di awal projek adalah sangat penting. Kadang-kadang pengguna sendiri tidak memahami masalah yang mereka hadapi dan mereka meminta fungsi yang mereka tidak perlukan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pengurus projek atau penganalisa sistem untuk menganalisa masalah pengguna dan mendokumenkan satu senarai keperluan dan spesifikasi sistem yang jelas. Keperluan dan spesifikasi yang jelas mampu mengelakkan terlalu banyak perubahan semasa pembangunan, penyediaan jadual yang realistik dan membangun sistem yang tepat mengikut keperluan. Hampir kesemua proses pembangunan bergantung kepada kajian keperluan dan spesifikasi di awal proses pembangunan.

 

d) Objektif dan Matlamat Yang Jelas

         Matlamat dan objektif penting kerana ianya akan menjadi hala tuju dan panduan dalam pembangunan sistem. Penetapan matlamat dan objektif hendaklah dinyatakan dengan jelas dan juga realistik. Projek yang berjaya adalah projek yang mencapai semua matlamat dan objektifnya dalam masa yang ditetapkan.

 

e) Jadual Yang Realistik

         Penyediaan jadual yang realistik juga penting dalam memastikan projek disiapkan dalam jangka masa dan keperluan yang telah dirancang. Kesilapan selalunya berlaku apabila pengurus projek menggalas tanggungjawab seorang diri menyediakan jadual tanpa melibatkan ahli pasukan projek yang lain. Seharusnya, kesemua ahli pasukan projek hendaklah sama-sama berbincang memberi cadangan mengenai masa yang mereka perlukan.

 

f) Sumber Manusia

         Sumber manusia juga merupakan faktor yang perlu di ambil kira dalam menentukan kejayaan sesebuah projek ICT. Oleh itu, setiap projek ICT yang akan dibangunkan perlu mempunyai struktur tadbir urus yang terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Pasukan Projek. Setiap jawatankuasa yang dilantik perlu dinyatakan peranan yang jelas agar pengurusan projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

 

g) Kemahiran dan Keupayaan Personel ICT

         Dalam mewujudkan tadbir urus pengurusan projek, kemahiran dan pengetahuan personel ICT adalah perlu diberi pertimbangan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut masa dan kos yang ditetapkan serta dapat memenuhi kehendak pengguna.

 

h) Pengurusan Projek yang Cekap

         Pengurus projek yang cekap dan pemilihan metodologi pengurusan projek yang tepat mampu meningkatkan peluang kejayaan projek. Pemilihan metodologi pengurusan projek hendaklah dilakukan dengan berhati-hati kerana setiap metodologi yang digunakan bergantung kepada kesesuaian projek yang dibangunkan. Sebagai contoh, metodologi tradisional pengurusan projek waterfall sesuai digunakan untuk projek yang mampu menjangka dan menyatakan keperluan projek dengan hanya sedikit ataupun tiada langsung perubahan. Manakala metodologi agile memberi kelebihan kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri kepada perubahan yang berlaku semasa pembangunan projek.